Sultan Pahang, Tengku Ampuan Zahir Ucapan Selamat Hari Pahlawan

KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Pahlawan.

Ucapan berkenaan dizahirkan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk semua anggota pasukan keselamatan yang telah dan sedang berkhidmat dengan penuh keberanian, kesetiaan serta keikhlasan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang baginda berdua turut merakamkan penghargaan terhadap segala jasa, pengorbanan dan bakti pahlawan negara yang telah mengabdikan seluruh jiwa dan raga demi mempertahankan keamanan, kemerdekaan serta kesejahteraan tanah air yang tercinta.

“Hari Pahlawan bukan sekadar suatu sambutan tahunan, bahkan merupakan medan untuk seluruh rakyat mengenang serta menghargai pengorbanan insan yang telah mengangkat sumpah setia mempertahankan tanah air, biarpun terpaksa mengorbankan masa, tenaga, kebahagiaan keluarga, malah nyawa mereka sendiri.

“Keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang dinikmati negara pada hari ini bukanlah suatu nikmat yang hadir dengan mudah.

“Ia dibina atas semangat juang, keberanian, kesetiaan dan pengorbanan yang tidak ternilai daripada perwira yang sanggup berdiri di barisan hadapan demi memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di bumi Malaysia yang berdaulat,” titah baginda berdua. 

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertitah jasa pahlawan akan terus terpahat dalam lipatan sejarah negara dan kekal tersemat pada hati setiap rakyat yang menghargai erti sebuah kemerdekaan. 

“Semoga semangat patriotisme, keberanian dan kecintaan terhadap negara yang mereka wariskan akan terus menyala dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi muda agar sentiasa mempertahankan perpaduan, keharmonian dan kedaulatan tanah air daripada sebarang ancaman,” titah baginda berdua. – BERNAMA

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *