Tiada kempen, operasi khas wajibkan rakyat tukar alamat pada MyKad – JPN

PUTRAJAYA – Tiada kempen khas dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mewajibkan orang ramai mengemas kini atau menukar alamat tempat kediaman pada kad pengenalan (MyKad) masing-masing.

JPN dalam hantaran di media sosial turut memaklumkan, tiada operasi khas dijalankan bagi mengambil tindakan ke atas rakyat Malaysia yang belum mengemas kini alamat pada MyKad.

“Tanggungjawab memastikan maklumat pada MyKad sentiasa tepat dan terkini adalah terletak pada setiap pemilik MyKad.

“Sekiranya berlaku perubahan kepada alamat kediaman yang baharu dan kekal, pemilik MyKad digalakkan hadir ke JPN untuk mengemas kini maklumat tersebut,” menurut hantaran tersebut yang turut memaklumkan fi bagi penggantian MyKad adalah RM10.

Sehubungan itu, JPN menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan dakwaan bahawa kerajaan memaksa semua rakyat menukar MyKad atau mencari keuntungan melalui pelaksanaan Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang sememangnya sudah lama berkuat kuasa.

“Dakwaan sedemikian tidak menggambarkan keadaan sebenar serta boleh mengundang kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Sentiasa dapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak membuat tafsiran sendiri berdasarkan perkongsian yang tidak lengkap atau di luar konteks,” menurut hantaran itu.

Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial bahawa kegagalan mengemas kini alamat selepas berpindah tempat kediaman boleh menyebabkan seseorang berdepan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM20,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, sekiranya seseorang bertukar tempat kediaman dengan tempoh tinggal adalah 90 hari atau lebih, penggantian penukaran alamat pada kad pengenalan perlu dibuat. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *