MBIP tutup, sita premis Network School di Forest City selepas lesen perniagaan dibatalkan

ISKANDAR PUTERI – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) hari ini melakukan tindakan penguatkuasaan dengan menutup serta menyita salah sebuah premis milik NSO Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City selepas lesen perniagaan syarikat berkenaan dibatalkan.

Operasi penguatkuasaan itu bermula kira-kira jam 11.30 pagi apabila sepasukan anggota penguat kuasa MBIP tiba di premis berkenaan bagi menyerahkan Notis Perintah Penutupan Premis kepada wakil syarikat sebelum tindakan penutupan dan penyitaan dilakukan.

Hasil tinjauan di lokasi mendapati sebuah premis di kawasan Teluk Bintang, Forest City dipasang pita penghalang berwarna kuning yang memaparkan logo rasmi MBIP, selain Notis Perintah Penutupan Premis yang berkuat kuasa mulai jam 11.45 pagi.

Notis berkenaan memaklumkan, tindakan itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil 49(2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP) 2018.

Keadaan di sekitar premis didapati lengang sepanjang operasi dijalankan, manakala papan tanda Network School yang sebelum ini dipasang di hadapan premis telah diturunkan.

Beberapa petugas media mula berkumpul di lokasi seawal jam 10 pagi bagi mengikuti perkembangan tindakan penguatkuasaan tersebut.

Difahamkan, keseluruhan proses penutupan berlangsung dalam keadaan terkawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

MBIP dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi memperincikan tindakan yang diambil, termasuk aspek perundangan serta langkah penguatkuasaan susulan terhadap syarikat berkenaan.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijadual mengadakan sidang media di Bangunan Dato’ Jaafar, Kota Iskandar pada jam 2.30 petang bagi mengulas isu berhubung tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan terhadap Network School.

Pada Selasa, MBIP mengumumkan keputusan membatalkan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn. Bhd. dibuat menerusi Mesyuarat Penuh Khas MBIP selepas penelitian menyeluruh terhadap laporan pemeriksaan, hasil siasatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat.

Menurut MBIP, keputusan itu dibuat selepas pihak berkuasa tempatan berpuas hati terdapat pelanggaran syarat-syarat pelesenan di premis yang dikendalikan syarikat berkenaan.

Bagi premis yang terletak di P-01-11, Teluk Bintang, Jalan Forest City 5, Pulau Satu, Forest City, MBIP mendapati syarikat berkenaan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa memiliki lesen yang sah.

Sehubungan itu, Notis Henti Niaga dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP) 2018 sebagai arahan supaya operasi di premis berkenaan dihentikan.

Bagi sebuah lagi premis di P-01-12, Teluk Bintang, Jalan Forest City 5, Pulau Satu, Forest City, MBIP memaklumkan lesen premis perniagaan serta lesen iklan yang diberikan kepada syarikat telah dibatalkan.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, tindakan berkenaan diambil selepas syarikat didapati menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak selaras dengan tujuan dan kelulusan lesen yang telah diberikan.

Tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan pada Rabu dilihat sebagai susulan kepada keputusan pembatalan lesen yang diumumkan sehari sebelum itu, sekali gus menandakan pendirian tegas MBIP dalam memastikan semua premis perniagaan di bawah pentadbirannya mematuhi syarat pelesenan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Orang ramai kini menantikan kenyataan lanjut daripada MBIP serta penjelasan kerajaan negeri berhubung isu berkenaan, termasuk sebarang tindakan susulan yang akan diambil terhadap operasi syarikat tersebut di Johor.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *