Rafique Persoal Maruah Kepimpinan, Dakwa Penghormatan Rakyat Terhadap PM Semakin Terhakis

KUALA LUMPUR – Peguam dan tokoh politik, Rafique Rashid menggesa kepimpinan negara melakukan muhasabah terhadap tahap keyakinan serta penghormatan rakyat, dengan mendakwa imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini semakin menjadi bahan sindiran dan jenaka dalam kalangan masyarakat.

Menerusi satu kenyataan bertajuk “Masih Adakah Malu Itu?”, Rafique berkata, seseorang pemimpin pada asalnya diangkat ke tampuk pemerintahan kerana dihormati dan diyakini rakyat.

Namun, menurut beliau, perkembangan semasa menunjukkan keadaan itu semakin berubah apabila pelbagai sindiran terhadap Perdana Menteri semakin meluas, khususnya di media sosial.

Beliau mendakwa, kemunculan slogan seperti “hentikan guru, kami malu guru” yang dikongsi dan diulang oleh orang ramai bukan lagi boleh dianggap sekadar serangan politik daripada pihak lawan.

Sebaliknya, katanya, fenomena itu adalah petanda penghormatan rakyat terhadap kepimpinan negara semakin terhakis.

“Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang memegang jawatan Perdana Menteri, malah turut menyentuh maruah institusi kepimpinan negara serta imej Malaysia di mata masyarakat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut membezakan antara kekalahan dalam pilihan raya dengan kehilangan penghormatan rakyat.

Katanya, kekalahan dalam pilihan raya adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang normal, namun kehilangan rasa hormat rakyat adalah sesuatu yang jauh lebih sukar untuk dipulihkan.

Dalam kenyataannya, Rafique menegaskan, jawatan Perdana Menteri bukan hak milik mana-mana individu, sebaliknya merupakan amanah yang diberikan oleh rakyat dan hanya dipinjam untuk tempoh tertentu.

Oleh itu, menurut beliau, seseorang pemimpin perlu sentiasa menilai sejauh mana keyakinan rakyat masih berpihak kepadanya.

“Seorang pemimpin perlu melakukan refleksi sekiranya setiap ucapan yang disampaikan disambut dengan sindiran, setiap tindakan menjadi bahan jenaka, dan setiap kemunculan di khalayak mengundang rasa malu dalam kalangan sebahagian masyarakat.

“Hormat tidak boleh dipaksa,” tegas Rafique sambil menyatakan penghormatan hanya boleh diperoleh melalui kepimpinan berkesan, teladan yang baik serta kepercayaan yang dibina bersama rakyat.

Mengulas soal kepimpinan, beliau berkata, maruah seseorang pemimpin bukan diukur berdasarkan tempoh memegang jawatan, sebaliknya pada kebijaksanaan untuk mengetahui bila masanya perlu berundur demi kepentingan negara dan institusi yang dipimpin.

Beliau turut mendakwa, tindakan untuk terus mempertahankan kuasa ketika keyakinan rakyat semakin merosot bukanlah lambang kekuatan, sebaliknya hanya melambatkan sesuatu yang menurutnya tidak dapat dielakkan.

Sehubungan itu, Rafique menggesa agar suara rakyat diberikan perhatian sekiranya masih wujud rasa tanggungjawab terhadap maruah jawatan yang disandang.

Beliau turut mengulangi slogan yang menjadi tajuk perbahasan dalam kenyataannya dengan menyatakan apabila rakyat sudah berasa malu terhadap pemimpinnya, maka pemimpin tersebut sewajarnya mempunyai rasa malu untuk terus memimpin.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *