KUALA LUMPUR – Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 yang melanda Utara Sumatera, Indonesia pada jam 12.18 tengah hari tadi turut menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, termasuk sekitar Lembah Klang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, gempa berkenaan berlaku pada koordinat 4.2 darjah Utara dan 97.6 darjah Timur, dengan pusat gempa terletak kira-kira 55 kilometer barat daya dari Langsa, Indonesia pada kedalaman 10 kilometer.
Menurut MetMalaysia, berdasarkan pemantauan awal, gegaran daripada gempa itu dapat dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, namun tiada ancaman tsunami dikesan susulan kejadian tersebut.
Agensi itu berkata, pihaknya terus memantau perkembangan aktiviti seismik dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang maklumat penting dapat disampaikan dengan segera kepada orang ramai.
“MetMalaysia sedang memantau situasi secara berterusan dan akan mengeluarkan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perkembangan berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai yang merasai gegaran diminta membantu pihak MetMalaysia dengan mengisi borang soal selidik disediakan menerusi laman sesawang rasmi agensi berkenaan.
Maklumat dikumpulkan akan digunakan bagi tujuan analisis dan penilaian impak gempa bumi terhadap kawasan yang terlibat.
Sementara itu, gegaran yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai, khususnya pengguna media sosial yang tampil berkongsi pengalaman masing-masing sejurus selepas kejadian.
Tinjauan di platform Threads mendapati ramai pengguna memuat naik hantaran bagi mendapatkan kepastian sama ada gegaran yang mereka rasai berpunca daripada gempa bumi.
Sebahagian besar pengguna memaklumkan mereka merasai bangunan atau kerusi bergoyang selama beberapa saat, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai punca kejadian sebelum pengesahan dikeluarkan oleh MetMalaysia.
Seorang pengguna Threads, @ririshanifa, memuat naik hantaran bertanyakan sama ada orang lain turut merasai gegaran.
“Ada sesiapa rasa gegaran tak tadi? Bukan gempa bumi kan,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, @nasiha.is, turut berkongsi pengalaman hampir sama selepas merasakan pergerakan yang luar biasa ketika berada di dalam bangunan.
“Ada gempa bumi ke? Saya baru rasa bergoyang,” katanya.
Selain Petaling Jaya, beberapa pengguna media sosial turut mendakwa gegaran berkenaan dirasai di beberapa lokasi lain sekitar Lembah Klang, termasuk Shah Alam, Subang Jaya, Puchong, Cheras dan Kuala Lumpur. Bagaimanapun, tiada laporan mengenai kerosakan harta benda atau kecederaan diterima setakat ini.
Malaysia secara amnya tidak terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik yang aktif, namun negara ini boleh menerima kesan gegaran daripada gempa bumi kuat yang berlaku di negara jiran, khususnya di Sumatera, Indonesia, berikutan kedudukan geografinya yang berhampiran.
Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat sahih hanya daripada saluran rasmi MetMalaysia serta mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L