TAMPIN – Kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dicadangkan menggunakan nama baharu, Perikatan Barisan Nasional (PBN) bagi memudahkan rakyat mengenali gabungan itu.
Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, cadangan itu dikemukakan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi terhadap kerjasama yang terjalin antara kedua-dua gabungan politik berkenaan.
Menurut beliau, penggunaan singkatan PBN juga lebih mudah disebut berbanding gabungan nama PN-BN, namun menegaskan perkara paling penting bukanlah jenama atau nama gabungan, sebaliknya semangat kebersamaan yang menjadi asas kepada kerjasama tersebut.
“Kita mahu namakan supaya orang tidak keliru lagi. Ramai yang susah menyebut PN-BN, jadi kita gunakan PBN sahaja.
“Tetapi, yang lebih penting bukanlah nama itu, sebaliknya jiwa kebersamaan dalam menentukan masa depan Negeri Sembilan,” katanya.
Hamzah berkata, kekuatan sebenar gabungan itu bergantung kepada kesepakatan semua parti yang terlibat untuk menawarkan alternatif pentadbiran kepada rakyat Negeri Sembilan pada PRN akan datang.
Katanya, jika diberi mandat oleh rakyat, gabungan tersebut bersedia mengambil alih pentadbiran negeri dan membentuk kerajaan baharu.
Menurutnya, PBN bakal membawa gelombang biru bagi berdepan gelombang merah yang dikaitkan dengan Pakatan Harapan (PH), dengan sokongan rakyat menjadi faktor penentu kepada pembentukan kerajaan negeri selepas pilihan raya.
“Jika biru menjadi pilihan majoriti rakyat, Insya-Allah kita akan mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Mengulas pembahagian peranan dalam kerjasama itu, Hamzah berkata, PN sejak awal lagi bersetuju memberi laluan kepada BN untuk menerajui gabungan berkenaan serta mengetuai kerajaan negeri sekiranya berjaya memperoleh majoriti kerusi.
Beliau berkata, persefahaman yang dicapai membuktikan kedua-dua gabungan bersedia mengetepikan perbezaan politik demi mencapai matlamat bersama untuk menawarkan pentadbiran baharu kepada rakyat.
“Kami dalam PN bersetuju dari awal lagi supaya BN menerajuinya bersama-sama kami di Negeri Sembilan. Tidak ada masalah langsung sekiranya kita boleh bermuafakat seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah berkata beberapa siri pertemuan antara pimpinan parti sebelum ini diadakan bagi menyelesaikan sebarang salah faham, rasa kecewa serta isu-isu lama yang mungkin masih wujud dalam kalangan akar umbi kedua-dua gabungan.
Menurut beliau, usaha tersebut penting bagi memastikan seluruh jentera pilihan raya dapat bergerak sebagai satu pasukan menjelang PRN tanpa dibebani konflik yang boleh menjejaskan kerjasama.
“Manusia mempunyai perasaan. Kadang-kadang ada rasa kecewa dan masalah yang berlaku dahulu. Kita boleh menyelesaikannya apabila bertemu dan berbincang.
“Pertemuan ini dibuat dari awal supaya selepas ini kita boleh turun ke lapangan dan bekerja keras untuk rakyat,” katanya.
Beliau turut menggesa seluruh jentera gabungan memainkan peranan aktif bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai perancangan, dasar dan tawaran yang bakal dibawa PBN sekiranya diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.
Menurutnya, pembentukan kerajaan baharu melalui proses demokrasi mampu memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa perubahan pentadbiran boleh dicapai menerusi pilihan raya.
Bagaimanapun, Hamzah menjelaskan penggunaan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) masih berupa cadangan awal dan belum dimuktamadkan.
Katanya, cadangan tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu bersama pimpinan parti-parti yang terlibat sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.
“Ini baharu saya cadangkan hari ini. Saya akan berbincang dengan rakan-rakan dalam gabungan dan kita akan lihat perkembangan seterusnya,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L