Kematian tiga askar AS cetus amaran Trump, Iran bakal ‘bayar harga lebih mahal’

WASHINGTON – Kematian tiga anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dalam dua siri serangan yang dikaitkan dengan Iran menjadi alasan kepada tindak balas Washington, apabila Presiden Donald Trump memberi amaran Tehran akan membayar harga berkali ganda atas insiden berkenaan.

Dua anggota tentera AS dilaporkan terbunuh dalam serangan terhadap sebuah pangkalan tentera di Jordan pada Jumaat, manakala seorang lagi maut dalam serangan berasingan di utara Iraq pada Sabtu. Seorang lagi anggota tentera masih dilaporkan hilang, dengan operasi pencarian menemukan beberapa sisa mayat yang belum dikenal pasti.

Pentagon mengenal pasti dua mangsa yang terkorban di Jordan sebagai Prebet Isabella Gonzales, 19, dan Leftenan Tyler James Feehan, 25.

Susulan kematian anggota tenteranya itu, Trump pada Isnin menegaskan Iran akan menerima tindak balas lebih keras daripada AS.

Dalam satu hantaran di media sosial, beliau berkata, Tehran akan “membayar harga berkali ganda” sambil menegaskan siri serangan udara AS terhadap sasaran di Iran telah memberi “kesan yang sangat besar” dan merupakan tindak balas langsung terhadap serangan yang mengorbankan anggota tentera negara itu.

Tentera AS memaklumkan operasi ketenteraan yang memasuki malam kesembilan berturut-turut itu menyasarkan kemudahan ketenteraan serta sistem komunikasi Iran bagi mengurangkan keupayaannya melancarkan serangan terhadap kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz.

Pada masa sama, Iran mendakwa telah melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi di Bahrain dan Syria, selain menyasarkan pesawat tentera AS di Jordan sebagai sebahagian daripada tindak balas terhadap operasi Washington.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, pula menegaskan negaranya kini sedang berdepan “perang berskala penuh” dengan AS, walaupun saluran diplomatik melalui pihak perantara masih diteruskan selepas gencatan senjata yang dicapai sebelum ini gagal dipertahankan.

Ketegangan turut merebak ke negara-negara Teluk apabila tentera Jordan mengesahkan berjaya memintas dan menembak jatuh tiga peluru berpandu Iran ketika siren amaran serangan dibunyikan di seluruh negara itu.

Dalam perkembangan berasingan, Kuwait memaklumkan sistem pertahanannya berjaya memintas beberapa dron Iran yang memasuki ruang udara negara itu, manakala Bahrain berkata dron Iran turut menyasarkan sistem navigasi udara negara berkenaan, namun operasi penerbangan tidak terjejas.

Media Iran melaporkan beberapa bandar termasuk Tabriz, Chabahar, Konarak, Bandar Mahshahr dan Bandar Imam Khomeini menjadi sasaran serangan udara AS.

Agensi berita separa rasmi Tasnim turut melaporkan dua kapal tangki minyak meletup ketika cuba merentasi Selat Hormuz.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa kedua-dua kapal itu menggunakan laluan selatan selat berkenaan yang disifatkan sebagai tidak selamat sebelum berlaku letupan yang menyebabkan kapal terbabit terhenti. Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Komando Pusat AS (CENTCOM).

IRGC turut memberi amaran Selat Hormuz tidak lagi selamat untuk transit minyak, gas dan produk petrokimia sekiranya operasi ketenteraan AS diteruskan, malah berikrar melaksanakan apa yang disifatkan sebagai “operasi hukuman” terhadap Washington.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata Washington masih membuka ruang kepada penyelesaian diplomatik, namun masyarakat antarabangsa perlu memutuskan sama ada laluan perairan strategik seperti Selat Hormuz harus terus dijadikan alat tekanan oleh Iran.

Menurut Rubio, tindakan Tehran mengancam laluan perkapalan yang mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak dunia menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan dan kestabilan ekonomi global.

Ketegangan semasa berlaku ketika usaha damai yang dimeterai pada pertengahan Jun semakin rapuh, manakala rundingan bagi mencapai gencatan senjata baharu masih menemui jalan buntu selepas Trump mengisytiharkan perjanjian terdahulu “sudah berakhir” pada 8 Julai lalu. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *