Anwar Ucap Takziah Atas Pemergian Prof. John Esposito

Oleh NurFarhana Zulkeply

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian sarjana Islam terkemuka dunia, Profesor John L. Esposito, yang disifatkannya sebagai seorang sahabat rapat dan tokoh akademik yang banyak menyumbang kepada pemahaman Islam di peringkat antarabangsa.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau mula mengenali Esposito pada awal 1970-an dan persahabatan mereka berterusan selama lebih lima dekad.

Menurut beliau, Esposito memainkan peranan penting dalam membina asas intelektual bagi memperkukuh pemahaman masyarakat Barat terhadap Islam, selain menjadi antara tokoh utama yang memperjuangkan dialog antara umat Islam dan Kristian.

Anwar berkata, mendiang turut mengasaskan Centre for Muslim-Christian Understanding di Georgetown University, menyunting Oxford Encyclopaedia of the Islamic World serta pernah berkhidmat sebagai Presiden Middle East Studies Association of North America.

Selain itu, beliau berkata Esposito menghasilkan pelbagai karya akademik yang memberi impak besar, termasuk Makers of Contemporary Islam dan Who Speaks for Islam, yang membantu memperluaskan kefahaman masyarakat antarabangsa terhadap Islam, khususnya selepas peristiwa 11 September 2001.

Menurut Anwar, beliau akan sentiasa mengenang Esposito bukan sahaja sebagai seorang sarjana yang disegani, malah sebagai sahabat yang sentiasa memberikan nasihat serta sokongan sepanjang persahabatan mereka.

Bagi pihak Malaysia, Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada isteri mendiang, Jean, ahli keluarga, rakan akademik serta para pelajarnya.

Beliau berharap legasi keilmuan serta usaha Esposito dalam memperkukuh dialog antara agama akan terus menjadi sumber inspirasi dan memberi manfaat kepada masyarakat dunia.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *