Oleh NurFarhana Zulkeply
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri (PPN) Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kali Ke-72 di Klana Resort, Seremban, sekali gus menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para veteran negara.
Pada majlis itu, Aminuddin turut diberi penghormatan menyampaikan Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB), iaitu pingat penghargaan kedua tertinggi dalam PVATM kepada penerima yang layak.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut mencerminkan penghormatan terhadap jasa, pengorbanan dan kesetiaan para veteran yang telah mempertahankan kedaulatan negara dengan penuh keberanian dan keikhlasan.
Bersempena Hari Pahlawan 2026, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran serta semua wira negara atas segala pengorbanan yang dicurahkan demi keamanan dan kedaulatan tanah air.
Dalam ucapannya, Aminuddin turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Yang Dipertua PVATM Negeri Sembilan, Allahyarham Datuk Adnan Ahmad, yang disifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada persatuan serta negeri.
Beliau berkata jasa Allahyarham dalam memperjuangkan kebajikan veteran akan sentiasa dikenang dan diharapkan segala amal baktinya diterima Allah SWT.
Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PVATM Negeri Sembilan atas komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan ahli serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan veteran.
Beliau berharap PVATM Negeri Sembilan akan terus menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam memperjuangkan kebajikan veteran, memupuk semangat patriotisme dan memastikan jasa para pejuang negara terus dihargai oleh generasi akan datang.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L