Oleh: Abd. Ghaffar Daud
RANTAU PANJANG – Seramai tujuh anggota polis, termasuk Ketua Balai Polis Rantau Panjang, Inspektor Mohd Fadhil Shamsul Bahar, hadir menyampaikan ceramah kesedaran keselamatan dan jenayah kepada penduduk Kampung Gual To’ Deh, dekat sini, semalam.
Ceramah yang berlangsung selepas solat Maghrib di masjid tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk mengenai langkah pencegahan jenayah serta kepentingan kerjasama antara polis dengan masyarakat dalam memastikan keselamatan kampung sentiasa terpelihara.
Menurut Inspektor Mohd Fadhil, pihak polis sentiasa menjalankan rondaan selama 24 jam di kawasan kampung-kampung bagi memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan dalam keadaan aman dan selamat.
Beliau turut mengingatkan penduduk supaya sentiasa memastikan pintu dan tingkap rumah berkunci ketika keluar, selain tidak meninggalkan anak kunci di tempat yang mudah diketahui orang lain, termasuk di dalam kasut atau pasu bunga.
“Setiap rumah disarankan memasang jeriji besi dan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah tambahan untuk meningkatkan keselamatan kediaman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemilik motosikal supaya tidak meninggalkan kunci pada kenderaan kerana kecuaian tersebut boleh membuka peluang kepada penjenayah untuk melarikan motosikal.
Menyentuh mengenai jenayah penipuan atau scam yang semakin membimbangkan, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memberikan nombor akaun bank kepada pihak lain serta sentiasa berhati-hati ketika membuat pembelian secara dalam talian.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan polis sekiranya mendapati terdapat wang yang tidak diketahui sumbernya dimasukkan ke dalam akaun bank mereka. Salinan laporan berkenaan hendaklah dibawa ke pihak bank untuk tindakan selanjutnya.
Mengulas situasi jenayah di Rantau Panjang, Inspektor Mohd Fadhil memaklumkan bahawa sepanjang hampir lima bulan kebelakangan ini, hanya dua kes berkaitan kecurian motosikal dilaporkan.
Bagaimanapun, satu daripada kes berkenaan melibatkan motosikal yang kemudiannya ditemui semula selepas tiga hari, apabila pengadu menyedari motosikal tersebut sebenarnya diletakkan di lokasi lain.
Beliau turut memaklumkan bahawa kira-kira 80 peratus kawasan sempadan Malaysia-Thailand berada dalam keadaan selamat dan dikawal rapi oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Program berkenaan turut diserikan dengan jamuan kepada para hadirin serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik kepada penduduk yang hadir.
Sementara itu, Imam Tua, Aiman Shaari mengharapkan anak mukim dapat memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan memainkan peranan bersama pihak polis dalam mencegah jenayah.
Sesungguhnya, hubungan erat antara polis dengan masyarakat merupakan asas penting dalam mewujudkan persekitaran kampung yang aman, harmoni dan selamat.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
