Mahkamah putuskan rayuan Syed Saddiq hari ini

Syed Saddiq Dapat Restu Keluarga Teruskan Perancangan Perkahwinan Dengan Bella

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan rasa syukur mendalam selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan membebaskan beliau sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Dalam suasana penuh emosi di lobi Istana Kehakiman, Syed Saddiq dilihat memeluk kedua ibu bapanya, menunaikan sujud syukur dan berdoa sejurus keputusan diumumkan.

Turut berada di sisinya ialah tunangnya, pelakon dan penyanyi Bella Astillah, yang kelihatan mengalirkan air mata ketika beliau memberikan kenyataan kepada media.

Beliau berkata, itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai bukti institusi kehakiman negara mampu menegakkan keadilan apabila diberikan kebebasan untuk menjalankan tugasnya.

“Manusia boleh merancang, Allah SWT yang menentukan. Saya rasa di sebalik setiap ujian, cabaran dan rintangan, ada sebab kenapa ujian itu dibawa ke atas kita,” katanya.

Mengimbas perjalanan kes bermula sejak enam tahun lalu, beliau menegaskan dirinya tidak pernah mencari jalan mudah atau layanan istimewa untuk melepaskan diri daripada pertuduhan dihadapi.

“Saya tidak tunduk, tidak takut, tidak guna jalan pintas dan tidak minta layanan istimewa kerana saya tahu saya berada di pihak yang benar. Saya tidak lakukan kesilapan. Saya pegang kepada prinsip ‘berani kerana benar’,” katanya.

Mengulas mengenai masa depannya, Syed Saddiq berkata, keputusan diperoleh hari ini bukan sekadar tentang dirinya, sebaliknya mengenai perjuangan yang lebih besar untuk negara.

“Perjuangan politik sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya sejak penubuhan MUDA.

“Namun, untuk perancangan masa depan, berilah saya sedikit masa. Hari ini saya mahu meluangkan banyak masa bersama keluarga dan menguruskan kehidupan peribadi saya terlebih dahulu. Tetapi, semangat untuk membantu membina semula Malaysia tidak akan pernah padam,” katanya.

Pada masa sama, Syed Saddiq mendedahkan beliau telah mendapat restu daripada kedua ibu bapanya untuk meneruskan perancangan mendirikan rumah tangga bersama Bella Astillah selepas prosiding Mahkamah Persekutuan selesai.

“Tadi, selepas saya selesai melakukan sujud syukur, ayah dan ibu sudah memberi isyarat positif supaya kami dapat meneruskan perancangan perkahwinan.

“Cuma untuk komen lanjut, mungkin boleh tanya Bella,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bella kerana tetap setia berada di sisinya sepanjang tempoh perbicaraan walaupun ketika dirinya masih berstatus pesalah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tunang saya yang tetap setia bersama. Bukan mudah kerana sebelum ini saya pesalah. Orang ramai mungkin terlupa, tetapi sebelum keputusan di Mahkamah Persekutuan hari ini, saya masih berstatus pesalah.

“Namun, dia tetap bersama saya. Alhamdulillah, hari ini saya tidak lagi perlu berjalan dengan beban itu. Saya amat hargai segala pengorbanannya,” katanya.

Menurut beliau, penghargaan itu amat bermakna kerana Bella memilih untuk terus bersamanya ketika berdepan tempoh paling sukar dalam hidupnya.

Bagaimanapun, Syed Saddiq menegaskan beliau tidak mahu menjadikan mahkamah sebagai tempat untuk membuat pengumuman berkaitan kehidupan peribadinya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tunang saya. Bukan mudah untuk bersamanya kerana ketika hubungan kami bermula, saya telah disabitkan bersalah. Namun, saya sudah mendapat restu daripada orang tua untuk meneruskan perancangan itu. Untuk komen lanjut, saya akan bercakap mengenainya di luar mahkamah.

“Saya mahu menghormati institusi mahkamah dan saya tidak mahu perkara ini tertumpu kepada kehidupan peribadi saya. Saya mahu ia membawa makna yang lebih besar daripada itu,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak media yang mengikuti perkembangan kesnya selama ini serta berharap tiada sesiapa lagi perlu melalui pengalaman yang sama.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *