PRN Johor Jadi ‘Makmal Politik’ Bentuk Formula Kerjasama PRU – Mazri

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

JOHOR BAHRU – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 disifatkan bukan sekadar menentukan kerajaan negeri, malah boleh menjadi “makmal politik nasional” bagi mengkaji bentuk kerjasama politik paling berkesan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr. Mohd Mazri Yahya berkata, keputusan pilihan raya tersebut menyediakan data penting yang boleh dijadikan rujukan oleh parti-parti politik dalam merangka strategi pilihan raya pada masa depan.

Menurut beliau, walaupun Barisan Nasional (BN) berjaya meningkatkan penguasaan daripada 40 kepada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) menurun daripada 12 kepada lapan kerusi dan Perikatan Nasional (PN) gagal mempertahankan tiga kerusi dimenangi pada PRN 2022, keputusan itu perlu dilihat lebih daripada sekadar jumlah kerusi dimenangi.

Beliau berkata, penyertaan PAS di 11 kerusi DUN dalam PRN kali ini turut memberi peluang untuk menilai corak sokongan pengundi dan kesan pertandingan pelbagai penjuru terhadap keputusan pilihan raya.

Beliau juga berkata, di beberapa kawasan, pertandingan PAS dilihat berpotensi menyediakan pilihan kepada pengundi yang tidak mahu mengundi PH, sekali gus boleh mempengaruhi keputusan akhir serta memberi kelebihan kepada UMNO dalam keadaan tertentu.

“Pada masa yang sama, terdapat juga beberapa DUN yang menjadi medan untuk mengkaji senario sebaliknya. Jika UMNO dan PAS bertanding secara berasingan, adakah perpecahan undi akan membuka ruang kepada calon PH untuk muncul sebagai pemenang?

“Ini yang berlaku di Simpang Jeram. Satu eksperimen untuk menjawab pola pengundian pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Facebook miliknya

Menurut beliau, analisis keputusan mengikut DUN membolehkan parti-parti politik mengenal pasti pola pengundian berdasarkan faktor demografi, komposisi kaum serta kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar.

Selain itu, beliau menegaskan dapatan tersebut penting bagi menentukan kerusi yang sesuai untuk pertandingan satu lawan satu, kawasan yang memerlukan kerjasama pilihan raya serta menilai kesan pertandingan tiga penjuru terhadap peluang kemenangan setiap gabungan politik.

Mengulas implikasi kepada pilihan raya akan datang, Dr. Mohd Mazri berpandangan Negeri Sembilan berpotensi menjadi negeri seterusnya untuk menguji model kerjasama tersebut, khususnya di kerusi yang kini dipegang PKR dan AMANAH.

Beliau berpendapat kerjasama antara PAS dan UMNO berpotensi mengelakkan perpecahan undi dalam kalangan penyokong kedua-dua parti, namun mengakui keberkesanannya tetap bergantung kepada faktor setempat, termasuk calon, isu tempatan dan penerimaan pengundi.

Beliau menambah, sekiranya model kerjasama yang diuji di peringkat negeri dapat dibuktikan berkesan dan diterjemahkan secara lebih meluas di peringkat nasional, ia berpotensi mengubah landskap persaingan pilihan raya.

“Walau bagaimanapun, sama ada ia mampu menghasilkan majoriti dua pertiga di Parlimen bergantung kepada pelbagai faktor seperti corak sokongan pengundi, isu semasa, kekuatan calon dan bentuk kerjasama yang benar-benar dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata, PRN Johor telah menyediakan satu set data yang bernilai dan bukan sekadar menjadi catatan sejarah pilihan raya negeri, malah berpotensi menjadi rujukan penting dalam menentukan strategi politik nasional menjelang PRU akan datang.

“Johor mungkin bukan penamat kepada perbincangan ini. Sebaliknya, ia boleh menjadi titik permulaan kepada pembentukan formula kerjasama politik yang lebih berkesan menjelang PRU akan datang,” katanya.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *