JOHOR BAHRU – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Maszlee Malik menyifatkan kemenangan beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab.
Maszlee berkata, kedudukannya sebagai satu-satunya calon PKR yang berjaya memenangi kerusi dalam PRN Johor kali ini bukanlah sesuatu yang wajar dibanggakan, sebaliknya merupakan manifestasi kepercayaan rakyat yang perlu diterjemahkan melalui khidmat dan tanggungjawab kepada masyarakat.
Menurut beliau, mandat diberikan pengundi akan dijadikan dorongan untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat Puteri Wangsa serta membawa suara PKR di Dewan Undangan Negeri Johor.
“Kemenangan ini bukan untuk diraikan secara berlebihan, tetapi merupakan amanah yang amat besar. Saya menerima mandat ini dengan penuh keinsafan dan akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Maszlee merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian.mperkukuhkan jentera kempen.
Menurut Maszlee, kejayaan itu juga tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen pasukan media yang mengendalikan strategi komunikasi dan kempen digital sepanjang PRN berlangsung.
Beliau berkata, pasukan media yang diketuai Mutalib Uthman bersama Khairi Zulfadhli, Hans Yusoff serta anggota pasukan masing-masing telah memainkan peranan penting dalam memastikan mesej perjuangan dan dasar parti dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat menerusi pelbagai platform media sosial.
Selain itu, Maszlee turut menghargai pengorbanan seluruh jentera pilihan raya yang bertugas sepanjang kempen, termasuk petugas tempatan dan sukarelawan dari luar kawasan yang sanggup meluangkan masa serta tenaga bagi memastikan gerak kerja parti berjalan lancar sehingga hari pengundian.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada isteri dan ahli keluarganya atas doa, sokongan dan pengorbanan yang disifatkan sebagai kekuatan sepanjang menghadapi cabaran kempen pilihan raya.
Dalam pada itu, Maszlee memberikan penghargaan khusus kepada seluruh pengundi DUN Puteri Wangsa yang sekali lagi memberikan kepercayaan kepadanya untuk mewakili kawasan berkenaan di Dewan Undangan Negeri Johor.
Beliau menegaskan, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.
Katanya, kemenangan dalam pilihan raya bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya membawa tanggungjawab yang besar untuk membela kepentingan rakyat.
“Saya memohon doa daripada semua agar diberikan kekuatan untuk memikul amanah ini sebaik mungkin, terus membela nasib rakyat Puteri Wangsa dan membawa suara Keadilan di bumi Johor dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L