PRN Johor peluang rakyat sampaikan mesej kepada parti lama, kata Rafizi|

Oleh Siti Khadijah Manudin

KOTA ISKANDAR – Presiden Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan peluang kepada pengundi untuk menghantar mesej jelas kepada parti-parti lama atau “parti dinosaur” yang menurutnya gagal memenuhi harapan rakyat.

Beliau berkata, meskipun Parti Bersama Malaysia baru ditubuhkan kira-kira 50 hari lalu, sokongan sebanyak 15 peratus daripada pengundi Johor sudah memadai untuk memberi isyarat kepada parti-parti arus perdana supaya melakukan perubahan.

Menurut Rafizi, pencapaian tersebut bukan sekadar kemenangan kepada parti baharu itu, sebaliknya membuktikan rakyat mahukan pendekatan politik yang lebih segar dan berteraskan pembaharuan.

“Jika sebuah parti yang baru berusia 50 hari mampu memperoleh sekurang-kurangnya 15 peratus undi, parti-parti besar akan mula sedar bahawa mereka perlu berubah dan menunaikan janji kepada rakyat,” katanya ketika berucap dalam ceramah di Kota Iskandar pada Khamis malam.

Beliau turut menegaskan bahawa matlamat utama Parti Bersama Malaysia bukan semata-mata untuk memenangi pilihan raya, sebaliknya membawa mesej perubahan kepada landskap politik negara.

Menggunakan simbol kancil sebagai lambang parti, Rafizi menggesa pengundi memberi sokongan kepada calon-calon Bersama bagi membuktikan bahawa rakyat mahukan alternatif kepada parti-parti sedia ada.

Katanya, sekiranya sasaran 15 peratus undi berjaya dicapai, mesej perubahan yang bermula di Johor diyakini akan sampai ke Putrajaya dan negeri-negeri lain.

Dalam PRN Johor kali ini, Parti Bersama Malaysia mempertaruhkan 15 calon, manakala Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara Perikatan Nasional (PN) bertanding di 33 kerusi. Lebih 2.7 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada Sabtu ini.

Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *