Oleh: Siti Khadijah Manudin
JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan pihak tertentu yang melabelkan beliau sebagai “alat Cina”, sambil menegaskan kerjasama dengan semua kaum adalah demi kepentingan negara.
Menurut Anwar, tuduhan bahawa beliau mudah tunduk kepada masyarakat Cina, khususnya melalui hubungan dengan DAP, tidak berasas dan hanya bertujuan mengelirukan rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau mempersoalkan tindakan yang dianggap salah sehingga timbul dakwaan sedemikian, termasuk usaha kerajaan menyediakan pendidikan yang lebih baik serta bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum.
“Saya dituduh menjadi alat kepada orang Cina. Apa yang saya buat salah? Adakah kerana kita beri pendidikan yang lebih baik atau bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada masyarakat Cina? Atau kerana saya berkawan dengan DAP?” katanya ketika berucap pada ceramah mega PH di Taman Pelangi Indah, Johor Bahru pada Khamis malam.
Perdana Menteri itu berkata, beliau lebih mengutamakan kerjasama dengan rakan politik yang berpegang kepada prinsip integriti dan perpaduan berbanding memainkan sentimen perkauman untuk meraih sokongan.
Anwar turut menjelaskan bahawa beliau sebelum ini sengaja mengelakkan diri daripada menyerang parti lain dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengelakkan ketegangan sepanjang kempen pilihan raya.
Ceramah tersebut dihadiri kira-kira 1,000 penyokong dan merupakan program kempen terakhir beliau di Johor sebelum hari pengundian PRN yang dijadual berlangsung pada Sabtu. PH mempertaruhkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya berkenaan.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L