Anak rentung, ibu melecur parah dalam kebakaran rumah di Tebedu

SERIAN (SARAWAK) – Suasana pilu menyelubungi Kampung Tubih Batu Raung, Tebedu, dekat sini apabila seorang wanita ditemui rentung, manakala ibunya melecur teruk selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Dalam kejadian menyayat hati itu, mangsa, Nurul Farhana Amerudin, 37, ditemui rentung di kawasan tandas rumah berkenaan, manakala ibunya yang berusia 65 tahun mengalami kecederaan melecur tahap dua di beberapa bahagian badan.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Mohamad Fauzi Mohamet Kifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.29 tengah malam sebelum menggerakkan dua jentera bersama 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian serta Siburan ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi sekitar 23 minit kemudian dan mendapati rumah setingkat jenis kekal itu telah terbakar hampir 100 peratus.

“Anggota segera menjalankan kerja pemadaman menggunakan dua aliran air sebelum dimaklumkan terdapat dua mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman berjaya dikawal tidak lama kemudian sebelum mangsa rentung ditemui di bahagian tandas rumah tersebut.

Sementara itu, ibu mangsa yang mengalami kecederaan serius telah dihantar ke Hospital Serian oleh orang awam bagi mendapatkan rawatan awal.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan dengan kerjasama polis dan pegawai perubatan Hospital Serian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Setakat ini, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *