‘Ronaldo masih berbisa’

LOS ANGELES – Penjaga gol Sepanyol, Unai Simon, mengeluarkan amaran kepada rakan sepasukannya mengenai ancaman berbahaya yang mampu dicetuskan oleh kapten Portugal, Cristiano Ronaldo menjelang aksi pusingan 16 terakhir Piala Dunia minggu depan.

Portugal dijadualkan menentang Sepanyol selepas skuad kendalian Roberto Martinez itu berjaya menewaskan Croatia di pusingan 32.

Sepanyol pula mengesahkan slot ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Austria.

Bercakap menjelang pertembungan sengit itu, Simon menegaskan walaupun Ronaldo kini sudah berusia 41 tahun, bintang legenda itu masih mempunyai bisa yang mampu menghukum pasukan lawan dalam sekelip mata.

“Cristiano?. Sudah tentu beliau bukan lagi pemain yang sama seperti lima atau enam tahun lalu, tetapi beliau kekal sangat berbahaya di dalam kotak penalti.

“Beliau hanya memerlukan satu saat sahaja untuk merubah perlawanan,” kata Simon dipetik daripada laporan Madrid Xtra.

Walaupun faktor usia sering menjadi bualan, Ronaldo membuktikan beliau belum ‘habis’ apabila sudah meledak tiga gol daripada empat perlawanan sepanjang kempen Piala Dunia setakat ini.

Pertembungan antara dua gergasi Eropah ini dijangka sengit dengan Sepanyol perlu merantai kemas pergerakan penyerang prolifik itu jika mahu melangkah ke peringkat suku akhir.

Dalam perlawanan menentang Croatia, Ronaldo mencipta sejarah tersendiri apabila menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, sekali gus menjadi jaringan pertamanya di pusingan kalah mati Piala Dunia.

Bintang berusia 41 tahun itu kini berpeluang memburu satu-satunya trofi utama yang masih belum dimenanginya apabila Portugal dijadual berdepan Sepanyol dalam aksi pusingan 16 terbaik di Dallas, awal pagi Selasa ini.

Pertemuan itu dijangka menjadi antara perlawanan paling dinanti-nantikan dalam kejohanan dengan tempat ke suku akhir menjadi taruhan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *