PASIR MAS – PAS mendesak ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low segera diekstradisi ke Malaysia bagi membolehkan beliau berdepan proses perundangan negara, susulan laporan individu itu antara yang dikaitkan dengan kemungkinan pengampunan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kes membabitkan Jho Low mempunyai implikasi besar terhadap negara, khususnya dari sudut ekonomi dan keyakinan awam terhadap sistem kewangan negara.
Menurut beliau, Malaysia tidak wajar bergantung kepada perkembangan luar negara semata-mata dalam menentukan tindakan terhadap individu berkenaan, sebaliknya perlu menggunakan saluran perundangan dan kerjasama antarabangsa yang sedia ada untuk membawa pulang Jho Low ke tanah air.
“Kita ada perundangan tersendiri dan tidak semestinya kita sama dengan Amerika Syarikat. Negara kita sangat terkesan dengan kesalahan yang dilakukan Jho Low dan kesannya sangat besar kepada ekonomi,” katanya.
Tuan Ibrahim menegaskan, keutamaan ketika ini ialah memastikan Jho Low dibawa pulang dan didakwa di Malaysia, manakala keputusan sama ada beliau bersalah atau tidak perlu ditentukan melalui proses mahkamah yang adil.
“Justeru kita desak beliau didakwa segera. Bersalah atau tidak itu perkara lain, tetapi beliau perlu diadili terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut menegaskan, kesalahan yang dikaitkan dengan Jho Low adalah berkait rapat dengan dana dan kepentingan kewangan negara, justeru Malaysia mempunyai asas kukuh untuk menuntut proses ekstradisi melalui hubungan dua hala dan kerjasama undang-undang antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan mengubah pendirian terhadap Jho Low walaupun sekiranya individu berkenaan diberi pengampunan oleh Presiden AS.
Anwar dilaporkan berkata, sebarang keputusan berkaitan pengampunan di Amerika Syarikat adalah urusan domestik negara tersebut, namun Malaysia kekal komited untuk meneruskan proses perundangan terhadap Jho Low mengikut lunas undang-undang negara.
Kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan Jho Low sebelum ini telah mencetuskan perhatian antarabangsa dan menjadi antara skandal kewangan terbesar yang memberi kesan kepada reputasi serta ekonomi Malaysia.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L