KUALA LUMPUR – PAS menggesa penyokong Perikatan Nasional (PN) memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan matlamat utama menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendirian itu dibuat berdasarkan keutamaan politik semasa bagi memastikan PH tidak menguasai kerusi yang tidak disertai PN.
“Ya, di tempat yang PN tidak bertanding, kita mesti halang PH daripada menang,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan gesaan tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai petanda PAS menjalin kerjasama politik dengan BN pada PRN Johor.
Menurutnya, PAS kekal dengan pendirian bertanding di bawah panji PN dan akan menumpukan sepenuh perhatian bagi memastikan kemenangan semua calon gabungan itu.
“Penamaan calon sudah selesai dan sekarang seluruh jentera parti memberi tumpuan kepada usaha memenangkan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PN.
“Soal kerjasama tidak timbul kerana kita akan bertanding menentang semua parti yang berdepan dengan PN,” katanya.
Kenyataan Tuan Ibrahim itu hadir ketika spekulasi mengenai kemungkinan wujud kerjasama tidak rasmi antara PAS dan BN terus diperkatakan susulan keputusan PAS hanya bertanding di 11 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Johor.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan tidak menolak kemungkinan berlaku kerjasama antara BN dan PAS di beberapa kawasan tertentu, khususnya membabitkan kerusi yang sebelum ini ditandingi PAS dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN).
Beliau bagaimanapun menjelaskan, sebarang usaha ke arah itu jika berlaku dipercayai digerakkan di peringkat akar umbi dan bukannya melalui keputusan rasmi kepimpinan tertinggi parti.
Kenyataan Ahmad Zahid itu sekali gus menghangatkan lagi dakwaan yang pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengenai usaha menghimpunkan parti-parti politik menerusi agenda penyatuan ummah.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung WAWASAN sebelum ini mendakwa usaha tersebut digerakkan oleh pengasas parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bagi merapatkan hubungan parti-parti yang cenderung kepada agenda penyatuan ummah menjelang PRN Johor.
Menurut beliau, usaha itu dikatakan melibatkan PAS, BN yang diterajui UMNO serta komponen PN seperti GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), namun tidak membabitkan BERSATU.
Keputusan PAS mengehadkan penyertaan kepada hanya 11 kerusi DUN sebelum ini mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai strategi pilihan rayanya, terutama apabila parti itu tidak meletakkan calon di beberapa kerusi yang pernah menjadi medan persaingan sengit.
Malah, kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu bersedia memainkan peranan sebagai pembangkang di Johor turut menimbulkan pelbagai tafsiran terhadap pendekatan politik yang diambil parti itu dalam menghadapi PRN kali ini.
Pada PRN Johor, PAS bertanding di 11 kerusi iaitu Jementah, Tenang, Maharani, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Endau, Tiram, Pasir Raja, Kahang dan Simpang Jeram.
BN pula mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN serta menegaskan pendiriannya untuk bertanding secara solo tanpa sebarang kerjasama rasmi atau pembentukan kerajaan bersama mana-mana parti politik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal PRN Johor pada 7 Julai, manakala hari pengundian pada 11 Julai.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L