ATLANTA – Pengendali Uzbekistan, Fabio Cannavaro mengakui saingan Piala Dunia amat kejam selepas pasukannya tewas dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan sebelum tersingkir daripada kejohanan itu.
Bekas kapten Itali yang pernah menjulang trofi Piala Dunia itu menyaksikan Uzbekistan menamatkan kempen Kumpulan K dengan kekalahan 3-1 kepada Republik Demokratik Congo (DR Congo), selepas sebelum itu dibelasah Colombia dan Portugal.
Walaupun tersingkir tanpa sebarang mata, Cannavaro enggan menyalahkan anak buahnya dan menegaskan mereka sudah memberikan segala-galanya di atas padang.
“Anda fikir saya tidak gementar atau tidak marah? Saya juga tidak suka kalah.
“Kami melakukan beberapa kesilapan, tetapi saya tidak akan menyalahkan pemain kerana saya sudah katakan sejak hari pertama undian dibuat bahawa Piala Dunia adalah kejohanan yang sangat kejam.
“Mereka memberikan segala-galanya. Mereka kini sangat kecewa di bilik persalinan. Percayalah, mereka lebih menderita daripada sesiapa pun di Uzbekistan,” kata Cannavaro.
Uzbekistan sebenarnya mencipta sejarah apabila kapten, Eldor Shomurodov menjaringkan gol pertama negara itu di pentas Piala Dunia, namun mereka gagal mempertahankan kelebihan sebelum dibolosi tiga gol pada penghujung perlawanan.
Cannavaro berkata, pemainnya mula kehilangan keyakinan selepas mendahului permainan.
“Dalam perlawanan ini, rasa takut untuk menang mula menguasai pemain.
“Ketika rehat, saya sudah mengingatkan mereka supaya meningkatkan tempo permainan dan menolak barisan pertahanan lebih tinggi.
“Saya juga menjelaskan bagaimana kami perlu mengeksploitasi ruang di belakang pertahanan lawan, tetapi sebaliknya kami terlalu kerap menerima bola dengan membelakangi gawang sendiri.
“Dalam perlawanan seperti ini, jika anda berbuat demikian, 99 kali daripada 100 anda akan kehilangan penguasaan bola,” katanya.
Bekas pertahanan tengah Itali itu turut menyeru pembangunan bola sepak Uzbekistan diteruskan bagi memastikan negara itu mampu kembali ke Piala Dunia pada masa depan.
“Kita perlu sedar bahawa bola sepak Uzbekistan masih perlu dipertingkatkan.
“Uzbekistan perlu terus melabur dalam akademi dan pembangunan pemain muda kerana itulah satu-satunya cara untuk memastikan negara ini kembali beraksi di Piala Dunia dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L