JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi menolak dakwaan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bahawa tindakannya meninggalkan parti berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana anaknya tidak dipilih sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebaliknya, Puad menegaskan keputusan keluar parti adalah sebagai protes terhadap sistem pemilihan calon, yang menurutnya tidak lagi bebas serta dipengaruhi pihak tertentu sehingga menafikan peluang kepada pemimpin akar umbi dan golongan muda.
Menurut beliau, Asyraf sepatutnya menjelaskan terlebih dahulu kepada ahli UMNO mengenai beberapa keputusan pemilihan calon yang menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong parti.
“Cuba Asyraf dedahkan sebelum ahli UMNO sendiri dedahkan. Kenapa Puan Alwiyah Talib, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau daripada Bersatu selama dua penggal, mengumumkan keluar parti dan kembali menyertai UMNO, kemudian tidak sampai sebulan dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Endau?” soal beliau.
Puad turut mempersoalkan keputusan mengetepikan pemimpin muda tempatan termasuk Ketua Puteri UMNO Johor merangkap Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing bagi memberi laluan kepada Alwiyah yang berusia 64 tahun.
“Kenapa korbankan Ketua Puteri Johor? Apakah Ketua Pemuda Mersing juga tidak layak? Mengapa BN menolak calon muda? Hebat sangatkah Alwiyah sehingga peluang diberikan kepadanya?” katanya.
Beliau turut mengaitkan perkara sama dengan pengguguran bekas ADUN Tiram, Azizul Bachok, yang menurutnya merupakan wakil rakyat muda dan hanya berkhidmat selama satu penggal.
“Dalam saat akhir beliau digugurkan dan digantikan dengan Senator Datuk Halim Sulaiman yang juga berusia 64 tahun. Tidakkah itu kronisme?” katanya.
Puad berkata, bantahannya terhadap proses pemilihan calon telah disuarakan kepada kepimpinan parti, namun dakwanya tidak mendapat perhatian sewajarnya.
“Maka, sistem pemilihan calon itulah yang saya protes. Apabila tidak dilayan, apa lagi pilihan yang saya ada? Parti semakin menjadi milik eksklusif kelompok tertentu. Sebab itu saya melakukan tindakan kamikaze untuk menyedarkan pemimpin,” katanya.
Mengulas dakwaan berhubung pencalonan anaknya, Puad menegaskan tidak menjadi kesalahan untuk beliau mencadangkan nama anak sendiri sekiranya individu tersebut mempunyai kelayakan dan pengalaman yang diperlukan.
“Mengenai anak saya, salahkah kalau saya mencadangkannya? Kenapa itu dijadikan isu? Jika tidak boleh, kenapa anak perempuan seorang Ketua Bahagian boleh bertanding di Serom?” katanya.
Beliau menegaskan, amalan mencadangkan ahli keluarga bukan perkara luar biasa dalam politik selagi individu berkenaan memiliki kemampuan dan telah melalui proses latihan yang sewajarnya.
“(Mohamad) Ali melatih anak perempuannya menjadi peninju. Sudah tentu anak itu dibawa masuk ke gelanggang setelah cukup bersedia untuk bertempur. Tidak salah mencadangkan anak yang sudah terlatih sebagai calon,” katanya.
Pada masa sama, Puad memberi bayangan akan membuat beberapa lagi pendedahan berkaitan proses pemilihan calon serta dakwaan pengagihan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melibatkan ahli keluarga pemimpin parti.
“Ramai anak dan isteri pemimpin UMNO di ibu pejabat mendapat jawatan dalam GLC. Perkara ini juga akan saya dedahkan dalam posting berasingan,” dakwanya.
Terdahulu, Asyraf dilaporkan mendakwa tindakan Puad keluar UMNO bukan berpunca daripada isu prinsip atau dakwaan campur tangan pihak tertentu dalam urusan parti, sebaliknya kerana cadangan beliau supaya anaknya dipilih sebagai calon PRN Johor tidak mendapat persetujuan kepimpinan UMNO negeri.
Pertikaman lidah terbuka antara kedua-dua pemimpin itu dijangka terus menjadi perhatian ketika UMNO dan BN sedang berdepan cabaran mempertahankan sokongan pengundi menjelang PRN Johor.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L