KUCHING – Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), pemain dalam bidang pembinaan serta kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), mengumumkan kejayaan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-49 hari ini.
Dalam mesyuarat berkenaan, pemegang saham memberikan mandat penuh apabila meluluskan semua resolusi yang dibentangkan oleh pihak pengurusan syarikat.
Sokongan itu mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap Lembaga Pengarah SCIB serta keberkesanan rangka kerja tadbir urus korporat yang diamalkan.
Keputusan berkenaan turut menunjukkan sokongan padu terhadap usaha penjajaran semula strategi syarikat, apabila SCIB kini memperkukuh fokus kepada segmen pembinaan dan EPCC susulan perkembangan korporat terkini.
Antara ketetapan yang diluluskan termasuk pembayaran yuran pengarah bagi tempoh bermula 1 Januari 2026 sehingga Mesyuarat Agung Tahunan seterusnya pada 2027.
Pemegang saham turut sebulat suara meluluskan pemilihan semula beberapa individu penting iaitu Ku Chong Hong, Datuk Chong Loong Men, Leow Wey Seng, Tan Li Peng dan Ling Chi Hoong sebagai Pengarah syarikat.
Bagi memastikan ketelusan pelaporan kewangan, mesyuarat itu turut meluluskan pelantikan semula Tetuan Kreston John & Gan sebagai juruaudit syarikat, selain memberi kuasa kepada pengarah untuk menetapkan imbuhan mereka.
Pemegang saham turut memberikan lampu hijau kepada pengarah untuk menerbitkan dan memperuntukkan saham baharu sehingga 10 peratus daripada jumlah saham SCIB yang diterbitkan, menurut Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016.
Mandat peluasan ekuiti berkenaan memberi fleksibiliti kepada syarikat untuk memenuhi keperluan pembiayaan masa hadapan, modal kerja, pelaburan projek atau pengambilalihan yang selari dengan strategi perniagaan.
Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif SCIB, Loong Men, menzahirkan penghargaan atas kepercayaan pemegang saham dan menyifatkan kelulusan semua resolusi itu sebagai asas kukuh untuk syarikat terus berkembang.
“Berikutan selesainya latihan korporat utama dan peralihan berterusan kumpulan, tumpuan kami kekal pada membina semula momentum projek, meningkatkan fleksibiliti kewangan dan mengejar peluang yang boleh menyumbang kepada penciptaan nilai jangka panjang yang mampan,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Melangkah ke fasa seterusnya, SCIB kini berada pada kedudukan lebih kukuh untuk mengharungi pemulihan operasi serta menyertai peluang prasarana di seluruh Malaysia, khususnya di Sarawak dan Sabah.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L