KUALA LUMPUR – Kejayaan strategi menembusi kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan membuahkan hasil apabila SSF Home Group Bhd mencatatkan lonjakan keuntungan selepas cukai sebanyak 55.7 peratus bagi tempoh kewangan berakhir 30 April 2026.
Keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM9.19 juta berbanding RM5.90 juta pada tahun sebelumnya, dipacu prestasi jualan yang lebih kukuh serta peluasan rangkaian cawangan.
Berdasarkan kenyataan media syarikat, kumpulan turut merekodkan pendapatan sebanyak RM167.64 juta, meningkat 9.9 peratus daripada RM152.51 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 45.1 peratus kepada RM12.47 juta berbanding RM8.60 juta.
Peningkatan ini disumbangkan oleh pembukaan cawangan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan, sekali gus memperluaskan asas pelanggan dan mengukuhkan kedudukan pasaran syarikat dalam segmen peruncitan perabot dan kelengkapan rumah.
Bagi suku keempat berakhir 30 April 2026, SSF turut mencatatkan keuntungan selepas cukai lebih tinggi sebanyak 17.6 peratus kepada RM6.90 juta berbanding RM5.87 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan suku berkenaan meningkat 15.0 peratus kepada RM58.56 juta, manakala keuntungan sebelum cukai naik 15.1 peratus kepada RM9.42 juta, disokong oleh jualan lebih kukuh hasil kempen promosi agresif dan peningkatan penglibatan pelanggan.
Pengarah Eksekutif SSF Home Group Bhd, Lok Kok Khong, berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan strategi pemasaran bersasar syarikat dalam persekitaran perniagaan semasa.
“Kami berbesar hati untuk mencapai satu lagi suku tahun prestasi kewangan yang lebih baik, mencerminkan keberkesanan inisiatif pemasaran sasaran dan usaha penglibatan pelanggan kami,” katanya.
Mengenai hala tuju syarikat, beliau berkata SSF Home terus komited memperkukuh cadangan nilai melalui penetapan harga strategik, inovasi produk dan penambahbaikan pengalaman membeli-belah.
Usaha ini memperkukuhkan komitmen kami untuk menjadikan penyelesaian kediaman yang berkualiti lebih mudah diakses oleh pengguna Malaysia sambil mewujudkan nilai yang mampan untuk pemegang saham syarikat,” katanya.
Menjelang masa depan, kumpulan akan terus memperluas rangkaian kedai dengan fokus kepada lokasi strategik di pusat bandar utama bagi meningkatkan akses dan kecekapan operasi.
Syarikat juga dijangka membuka satu lagi kedai baharu sebelum akhir tahun kewangan sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan berterusan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L