Bersatu Wilayah Persekutuan bentuk badan pimpinan baharu sebagai persiapan PRU16

Kenyataan Pemimpin UMNO Bukti BERSATU Pencabar Terbesar

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendakwa kenyataan beberapa pemimpin UMNO kebelakangan ini membuktikan bahawa parti itu kini dilihat sebagai pencabar politik paling besar kepada UMNO berbanding PAS atau Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, persepsi tersebut menjelaskan mengapa UMNO sanggup bekerjasama dengan DAP dan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membentuk kerajaan.

“Apabila UMNO meletakkan BERSATU sebagai musuh politik utama, ia menunjukkan parti itu melihat BERSATU sebagai ancaman sebenar terhadap pengaruh tradisional UMNO dalam kalangan pengundi Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Menurut beliau, BERSATU dan UMNO mempunyai banyak persamaan dari segi sejarah, struktur organisasi serta asas perjuangan kerana sebahagian besar kepimpinan awal BERSATU terdiri daripada bekas pemimpin dan ahli UMNO.

“Perbezaannya ialah BERSATU mengambil pendekatan lebih inklusif dengan membuka ruang penyertaan kepada bukan Melayu melalui sayap Bersekutu,” katanya.

Tun Faisal turut berpandangan bahawa UMNO lebih berisiko kehilangan pengaruh kepada PAS sekiranya kerjasama Muafakat Nasional diwujudkan semula di beberapa negeri seperti Pahang dan Perak, berbanding persaingan dengan BERSATU.

Beliau mendakwa faktor itu antara sebab UMNO dilihat lebih cenderung meneruskan kerjasama bersama PH berbanding menghidupkan semula Muafakat Nasional secara menyeluruh.

Mengulas situasi di Johor, Tun Faisal berkata persaingan politik sebenar di negeri itu bukan hanya melibatkan PAS, sebaliknya turut membabitkan PH dan BERSATU yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan pengundi.

“Johor merupakan medan penting yang akan menentukan sejauh mana UMNO mampu mempertahankan dominasi tradisionalnya, manakala BERSATU pula berusaha memperkukuhkan kedudukan sebagai alternatif utama kepada pengundi Melayu,” katanya.

Kenyataan tersebut hadir ketika spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama baharu antara parti-parti pembangkang dan kerajaan terus menjadi perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *