Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dilaksanakan di tiga kem latihan sejak tahun lalu telah menerima seramai 3,404 pelatih, dengan jumlah keseluruhan dijangka meningkat kepada 4,200 orang menjelang akhir tahun ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kerajaan kini sedang melengkapkan sembilan lagi kem latihan bagi meningkatkan kapasiti program.
“Kita dalam usaha untuk melengkapkan sehingga sembilan lagi kem latihan dan kita jangka menjelang tahun depan, boleh melatih sehingga 9,200 anggota,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, sebahagian calon pelatih yang tidak hadir dikenal pasti berdepan masalah kesihatan atau melanjutkan pengajian, manakala ada juga yang gagal hadir tanpa sebab tertentu.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang), Adly berkata objektif dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) PLKN 3.0 berjaya dicapai di semua kem latihan, dengan peningkatan positif direkodkan dalam enam indikator utama termasuk patriotisme, perpaduan, disiplin, ketahanan mental, pengetahuan ketenteraan dan kesukarelawan.
“Berdasarkan kajian impak dilaksanakan sebelum dan selepas latihan dalam siri kedua program itu bagi 2026, indikator bagi patriotisme, contohnya meningkat kepada 88.98 peratus daripada 82 peratus.
“Bagi indikator perpaduan, ada peningkatan sembilan peratus, disiplin daripada 77.36 kepada 92.6 peratus yang menjadi antara peningkatan tertinggi, iaitu 15 peratus. Begitu juga ketahanan mental, daripada 71 peratus, meningkat kepada 83 peratus.
“Bagi pengetahuan ketenteraan, sebelum latihan memang agak rendah, iaitu 56 peratus dan kini meningkat kepada 84 peratus, peningkatan tertinggi 27 peratus, manakala kesukarelawan, daripada 75 kepada 83 peratus,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, bekas pelatih PLKN 3.0 yang memenuhi syarat akan menerima merit tambahan dalam proses temu duga dan pengambilan perkhidmatan awam menerusi kerjasama JLKN dan JPA melibatkan lima pihak berkuasa melantik.
Kementerian melalui JLKN bekerjasama dengan JPA, yang mana lima pihak berkuasa melantik bersetuju memberikan merit tambahan kepada bekas pelatih PLKN 3.0 yang memenuhi syarat dalam proses temu duga serta pengambilan ke perkhidmatan awam.
“Langkah ini diharap dapat memberikan nilai tambah kepada bekas pelatih, selain mengiktiraf disiplin, kepemimpinan dan jati diri yang dibentuk,” katanya.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L