Malaysia Destinasi Lawatan Sulung Tarique Rahman

Oleh NurFarhana Zulkeply

PUTRAJAYA – Malaysia menjadi destinasi lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman sejak beliau memegang jawatan pada Februari lalu, sekali gus mencerminkan hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan Malaysia sebagai destinasi rasmi pertama Tarique membawa makna besar dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama.

“Saya menghargai kesudian Perdana Menteri Tarique Rahman yang memilih Malaysia sebagai destinasi rasmi pertama beliau ke luar negara sejak memegang jawatan pada Februari 2026.

“Ia mencerminkan eratnya hubungan persahabatan dan kepercayaan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Bangladesh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Setibanya di Perdana Putra, Tarique dan delegasinya diberikan sambutan rasmi termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan yang melibatkan 105 anggota dan tiga pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.

Anwar berkata, lawatan rasmi selama dua hari itu dijangka membuka ruang kepada pengukuhan kerjasama strategik antara Malaysia dan Bangladesh dalam pelbagai sektor yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Menurut beliau, hubungan diplomatik yang terjalin sekian lama antara kedua-dua negara menjadi asas penting dalam memperluas kerjasama melibatkan perdagangan, pelaburan, pendidikan serta pembangunan ekonomi.

Lawatan Tarique turut dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan dua hala ketika kedua-dua negara terus berusaha meningkatkan kerjasama serantau dan antarabangsa.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *