PUTRAJAYA – Mantan Timbalan Menteri Luar, Datuk Wira Marzuki Yahya menegaskan tiada mana-mana pihak, terutama DAP berhak mempertikaikan pembinaan masjid di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur atau mana-mana lokasi lain yang telah digazetkan untuk tujuan itu.
Menurut beliau, pembinaan rumah ibadat umat Islam yang telah mendapat kelulusan sewajarnya dihormati dan tidak dijadikan polemik politik murahan.
“Tiada hak pemimpin DAP, Teng Chang Khim untuk mempertikaikan pembinaan masjid bukan sahaja di kawasan Bukit Bintang, malah di mana-mana kawasan yang telah digazetkan untuk pembinaan masjid,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata demikian menjawab posting Chang Khim dalam akaun Facebooknya semalam, yang menyifatkan pembinaan sebuah masjid di Bukit Bintang sebagai pelan yang akan membawa kepada ketidakharmonian, rasa tidak puas hati, malah berpotensi mencetuskan pertembungan antara pelbagai aktiviti budaya dalam sebuah kawasan telah lama berkembang sebagai pusat komersial dan hiburan yang rancak di Kuala Lumpur, dengan identiti metropolitan moden serta berorientasikan antarabangsa.
Pemimpin kanan DAP Selangor itu mempersoalkan dalam postingnya, bahawa pada masa hadapan, adakah semua aktiviti di kawasan tersebut perlu dihentikan setiap kali berlangsung solat Jumaat atau apabila azan berkumandang?
“Mengapa perlu kita mewujudkan isu sensitif yang boleh dijangka berlaku, sedangkan pada ketika ini tiada sebarang masalah atau sensitiviti yang timbul? Cadangan yang tidak masuk akal ini wajar ditarik balik dan dibatalkan sepenuhnya,” tulis beliau.
Marzuki yang juga Ketua Sekretariat Orang Melayu turut mengingatkan pemimpin DAP itu supaya tidak terlalu mengejar sokongan politik sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan mempertikaikan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“DAP jangan terlalu rakus inginkan kuasa dan sokongan orang Cina sehingga mencetuskan hubungan kaum, malah menidakkan Perlembagaan Negara,” katanya.
Beliau berkata, orang Melayu tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pihak yang menyentuh soal agama Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini.
“Saya yakin orang Melayu tidak akan bertolak ansur sekiranya menyentuh soal agama Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak bertanggungjawab meneruskan pembinaan masjid tersebut mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L