Ribut badai Bercham, lebih 200 rumah rosak

IPOH – Lebih 200 rumah di tujuh kawasan perumahan sekitar Anjung Bercham di sini, rosak akibat ribut petang semalam.

Berdasarkan foto dan video dikongsi, angin kencang dilihat membadai kawasan perumahan ketika hujan lebat melanda, menerbangkan beberapa struktur kediaman terutama bumbung.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinta dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 3.47 petang hasil maklumat disalurkan oleh Penghulu Mukim Ulu Kinta (Tanjung Rambutan).

“Bertindak daripada maklumat tersebut, tiga anggota APM telah diarahkan membuat pemantauan ke kawasan berkenaan.

“Antara kawasan terjejas, Dataran Tasek Timur 6 dengan anggaran 177 rumah, Hala Tasek Timur 1 dan Lorong Bercham 19 masing-masing melibatkan 22 rumah, Hala Tasek Timur 34 (10 rumah), Laluan Tasek Timur 15 (lima rumah) serta Lintasan Tasek Timur 1 dan Lintasan Tasek Timur 3 yang masing-masing melibatkan dua rumah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut menghantar pasukan ke lokasi pada jam 5.05 petang bagi melaksanakan kerja pembersihan, termasuk mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan dan mengancam keselamatan penduduk.

Pada masa sama, kejadian itu turut menyebabkan beberapa tiang elektrik tumbang di kawasan perumahan dan jalan raya, dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memutuskan bekalan elektrik di kawasan terlibat untuk sementara waktu sebagai langkah keselamatan.

Selain itu, Dewan Datuk Ahmad Said kini diletakkan dalam keadaan siap siaga sebagai pusat pemindahan sementara (PPS), manakala Pegawai Daerah Kinta telah mengarahkan semua agensi berkaitan supaya bersiap sedia susulan kejadian itu yang turut menyaksikan hujan lebat selama lebih sejam.

Sementara itu, PKOD APM Kinta memaklumkan hujan lebat berterusan kira-kira satu jam 30 minit menyebabkan banjir di kawasan Kampung Tanjung Simpang Pulai yang menjejaskan kira-kira 60 rumah.

PKOD APM Kinta turut memaklumkan mereka telah menerima panggilan daripada ketua kampung untuk membuat pemantauan banjir di Kampung Tanjung Simpang Pulai pada 7.56 malam.

“Keadaan cuaca kini hujan renyai. Paras air dalam trend menurun dan semakin surut,” menurut kenyataan itu.

PKOD APM Kinta memaklumkan setakat ini tiada pembukaan PPS.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *