Trump perkenal Air Force One baharu, pesawat AS$400 juta hadiah kerajaan Qatar

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat memperkenalkan pesawat Boeing 747-8 yang bakal berfungsi sebagai Air Force One baharu, sekali gus memberi gambaran pertama pesawat mewah bernilai kira-kira AS$400 juta yang diterima sebagai hadiah daripada kerajaan Qatar tahun lalu.

Trump dilihat menuruni tangga pesawat berkenaan di dalam hangar di Joint Base Andrews, pangkalan tentera di luar Washington yang sekian lama menjadi lapangan terbang rasmi Presiden. 

Beliau turut menyapa pegawai Tentera Udara sebelum menyampaikan ucapan kepada anggota perkhidmatan.

“Tiada yang seumpamanya. Ini sangat unik dan dianggap sebagai pesawat paling mewah di dunia,” katanya.

Pesawat Air Force baharu ini akan mengetuai lintasan udara besar-besaran di Washington pada 4 Julai sempena ulang tahun ke-250 Amerika Syarikat.

Trump berkata, hangar tersebut terpaksa dibina khas bagi menempatkan pesawat baharu itu yang jauh lebih besar berbanding versi sebelumnya. 

Beliau turut memaklumkan, pesawat berkenaan akan mengetuai lintasan udara besar-besaran di Washington pada 4 Julai sempena ulang tahun ke-250 Amerika Syarikat.

Tentera Udara AS dalam satu kenyataan memaklumkan, pesawat itu akan memulakan “penerbangan pentauliahan”, iaitu ujian akhir sebelum digunakan secara rasmi untuk membawa Presiden.

Menurutnya, pesawat tersebut dilengkapi teknologi paling canggih, selamat dan memenuhi keperluan operasi Presiden. 

Keutamaan diberikan kepada kesiapsiagaan operasi berbanding aspek kosmetik, menyebabkan susun atur dalaman kekal hampir tidak berubah, termasuk kemasan mewah seperti tempat duduk kulit dan panel kayu berkilat.

Tentera Udara sebelum ini turut menyewa pesawat 747-8 bagi membolehkan juruterbang dan kru penyelenggaraan menjalani latihan awal, selain menyediakan model dalaman tiga dimensi untuk tujuan latihan sebelum ketibaan pesawat dari Qatar

Pesawat baharu itu akan menggantikan Boeing 747-2 yang telah digunakan oleh Presiden selama lebih 30 tahun. 

Trump sendiri pulang dari Eropah menggunakan pesawat lama itu, dengan kakitangan White House turut memberi penghormatan perpisahan di media sosial.

Dalam pada itu, Trump menolak kritikan bahawa penerimaan pesawat daripada kerajaan asing menimbulkan konflik kepentingan atau risiko keselamatan.

Pentadbirannya telah menghabiskan tempoh setahun bagi mengubah suai pesawat jumbo itu untuk kegunaan Presiden.

“Kenapa tentera kita dan pembayar cukai perlu membayar ratusan juta dolar sedangkan kita boleh mendapatkannya secara percuma daripada negara yang mahu menghargai kerja kita?” katanya dalam satu hantaran sebelum ini.

Menurut Trump, pesawat dari Qatar itu akan digunakan sehingga armada baharu Boeing diserahkan kepada Tentera Udara pada 2028. 

Pesawat lama pula akan dimasukkan ke dalam armada pengangkutan eksekutif untuk kegunaan pegawai kanan kerajaan.

Harga sebuah Boeing 747-8 dianggarkan sekitar AS$400 juta, manakala kos pengubahsuaian untuk kegunaan Presiden juga mencecah ratusan juta dolar. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *