KUANTAN – Tiga termasuk seorang doktor maut, manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM67 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan, semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenten Mohd Zaidi Mat Zain berkata, kemalangan kira-kira jam 6 petang itu mengakibatkan dua pemandu kenderaan iaitu Dr. Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, yang bertugas di Hospital Segamat, Johor dan pegawai kanan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya, Selangor, Azaharuddin Mohd Ali, 46, maut di lokasi kejadian.
Beliau berkata, anak kepada Dr. Mohamad Zekry Zuhairy, Dhea Sofia yang berusia dua tahun meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Chini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, kenderaan yang dipandu pegawai perubatan dan pegawai kanan LHDN itu dalam perjalanan dari Segamat ke Kuantan.
“Ketika di lokasi kejadian, sebuah pikap dari Kuantan ke Muadzam Shah dipercayai cuba memotong sebuah lori telah terlanggar lopak air, sebelum hilang kawalan serta memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan dua kenderaan itu,” katanya menerusi kenyataan.
Mohd Zaidi berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga penumpang kereta iaitu isteri, ibu dan bapa mentua Dr. Mohamad Zekry Zuhairy cedera.
Turut cedera penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu isteri dan anak lelaki Azaharuddin serta pemandu pikap berusia 31 tahun.
Menurut beliau, semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pekan dan mangsa yang meninggal dunia dalam nahas itu dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L