Dataran Merdeka bakal dimeriahkan dengan Citrawarna 2026 Julai ini

KUALA LUMPUR: Citrawarna 2026 bakal kembali menghidupkan suasana Dataran Merdeka pada 24 hingga 26 Julai ini menerusi penganjuran festival kebudayaan berskala besar yang menghimpunkan kepelbagaian tradisi, seni dan warisan dari seluruh negara.

Berlangsung sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), acara berkenaan mengetengahkan tema “Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa” yang mencerminkan kekayaan budaya serta identiti masyarakat Malaysia.

Tourism Malaysia berkata penganjuran itu menjadikan Kuala Lumpur sebagai pentas utama untuk meraikan kepelbagaian budaya negara, sekali gus memperkukuh promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Sepanjang tiga hari acara berlangsung, pengunjung akan disajikan dengan empat segmen utama iaitu Citra Perarakan (Colours of Parade), Citra Rasa (Colours of Flavour), Citra Budaya (Colours of Culture) dan Citra Seni (Colours of Art).

Iklan

Segmen berkenaan menawarkan pengalaman menyeluruh yang menggabungkan persembahan budaya, warisan kulinari, aktiviti komuniti dan seni kreatif dalam satu platform.

Bagi pencinta makanan, Citra Rasa dijangka menjadi antara tarikan utama menerusi pelbagai hidangan tradisional yang mencerminkan keunikan gastronomi Malaysia. Pengunjung berpeluang menikmati sajian warisan dari pelbagai negeri dalam suasana yang meraikan kepelbagaian budaya tempatan.

Kemuncak penganjuran ialah Citra Perarakan yang dijadual berlangsung pada 25 Julai. Persembahan besar-besaran itu akan menghimpunkan peserta dari seluruh negara menerusi gabungan muzik, tarian dan penceritaan budaya yang menonjolkan semangat perpaduan serta identiti kebangsaan.

Citra Budaya pula akan menampilkan pelbagai persembahan tradisional dan aktiviti kemasyarakatan yang mencerminkan kehidupan masyarakat majmuk Malaysia. Pada masa sama, Citra Seni menyediakan ruang khas untuk mempamerkan kraf tangan tempatan serta demonstrasi seni secara langsung oleh penggiat industri kreatif.

Penganjuran Citrawarna terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh penghargaan terhadap warisan budaya negara.

Citrawarna kekal sebagai salah satu produk pelancongan budaya utama Malaysia yang memainkan peranan penting dalam memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap kepelbagaian identiti budaya negara, di samping mengeratkan perpaduan masyarakat dari seluruh pelosok tanah air,” kata Tourism Malaysia.

Sejak diperkenalkan pada 1999, Citrawarna menjadi antara platform utama untuk mempromosikan keindahan budaya dan warisan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

Edisi tahun ini dianjurkan oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Yes Travel & Holidays Sdn Bhd serta mendapat sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Warisan Kuala Lumpur.

Selain mempromosikan warisan budaya negara, penganjuran Citrawarna 2026 dijangka memberi limpahan ekonomi menerusi peningkatan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

Kehadiran pengunjung yang tinggi berpotensi merancakkan aktiviti perniagaan tempatan termasuk sektor perhotelan, makanan dan minuman serta perkhidmatan pelancongan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *