Malaysia, Rusia Perluas Hubungan Dalam Sektor Strategik

Oleh NurFarhana Zulkeply

KAZAN, RUSIA – Malaysia dan Persekutuan Rusia terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi penerokaan pelbagai kerjasama strategik melibatkan sektor tenaga, teknologi, perdagangan dan pelaburan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang turut menyentuh usaha memperluas hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, sektor tenaga kekal sebagai antara bidang utama yang diberikan perhatian, termasuk kerjasama jangka panjang berkaitan bekalan tenaga dan minyak.

“Saya turut menghargai ketetapan Persekutuan Rusia memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal.

Anwar berkata, perbincangan turut merangkumi usaha memudah cara pergerakan rakyat antara kedua-dua negara menerusi cadangan pemansuhan visa selain meneroka mekanisme untuk memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan iaitu Ringgit dan Ruble.

Beliau turut menyampaikan salam Yang di-Pertuan Agong kepada Putin serta merakamkan penghargaan atas layanan mesra dan penghormatan yang sentiasa diberikan kepada Malaysia.

Pada masa sama, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai beberapa isu antarabangsa, termasuk perkembangan di Gaza dan Iran.

Anwar menegaskan Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat.

Pertemuan itu mencerminkan komitmen Malaysia dan Rusia untuk terus memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama ekonomi dalam pelbagai sektor strategik yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *