Wawasan, Bersama Tidak Jejas Peluang BN Pada PRN Johor dan Negeri Sembilan – Zambry

Oleh Siti Khadijah Manudin

PETALING JAYA – Kemunculan dua parti baharu, Parti Wawasan dan Parti Bersama Malaysia (Bersama), tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal berlangsung, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurut beliau, BN mempunyai strategi dan kekuatan tersendiri untuk menghadapi pilihan raya berkenaan, sambil menegaskan bahawa kemunculan parti-parti baharu adalah perkara biasa dalam landskap politik negara.

Katanya, BN menghormati hak mana-mana pihak untuk menyertai proses demokrasi, namun yakin sokongan pengundi terhadap gabungan itu tidak akan terjejas hanya kerana kehadiran pemain politik baharu.

Kenyataan itu dibuat susulan penyertaan Parti Bersama Malaysia yang kini diterajui bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, yang berhasrat bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri akan datang.

Parti Bersama sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertanding tanpa kerjasama mana-mana gabungan politik dan menyasarkan untuk menawarkan alternatif kepada pengundi.

Johor bakal mengadakan pilihan raya negeri pada 11 Julai, manakala Negeri Sembilan dijadualkan mengundi pada 1 Ogos selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing awal bulan ini.

Zambry berkata, fokus BN ketika ini adalah memperkukuh jentera parti dan menyampaikan mesej kepada rakyat mengenai rekod serta tawaran gabungan itu bagi menghadapi kedua-dua pilihan raya berkenaan.

Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *