Maal Hijrah: Inspirasi Kehidupan Lebih Bermakna

Oleh: Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin

PADA1 Muharam saban tahun Hijrah, masyarakat Islam negara ini dihiburkan oleh radio dan televisyen dengan lagu Maal Hijrah, malah ada yang menghafal lirikya.

Media tempatan menghidupkan sambutan hari berkenaan dengan menyiarkan berulang kali lagu berjudul “Maal Hijrah” yang sama setiap tahun dan dianggap sudah sebati dengan kedatangan 1 Muharam, iaitu hari pertama dalam takwim Islam.

Antara kandungan lirik yang menarik dalah “Hijrah itu pengorbanan, Hijrah itu perjuangan, Hijrah itu persaudaraan, Hijrah membentuk perpaduan.”

Melakukan penghijrahan oleh setiap individu memerlukan pengorbanan dan merupakan satu perjuangan untuk agama Islam, negara dan umah. Penghijrahan juga berupaya membina persaudaraan serta membentuk perpaduan sesama manusia. 

Bagi mengingati peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW yang telah berlaku lebih 1400 tahun dahulu, 1 haribulan Muharam disenaraikan oleh Kerajaan Malaysia sebagai cuti umum seluruh negara.

Pada tahun ini sambutan Maal Hijrah 1448H peringkat kebangsaan yang membawa tema, “Madani Dihayati, Ummah Diberkati” diadakan pada 1 Muharam bersamaan 17 Jun di Masjid Putra, Putrajaya.

Pelbagai acara diadakan bagi menyambut salah satu hari penting dalam takwim umat Islam. Antaranya, penganugerahan tokoh Maal Hijrah kepada individu yang banyak berjasa dan menyumbang kepada negara dan umat Islam.

Tidak lama dahulu, penulis berkesempatan menemu bual seorang tokoh yang dikenali ramai, Tan Sri Dr Ismail Ibrahim mengenai peristiwa hijrah, Beliau merupakan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Tahun 2001 peringkat kebangsaan.

Menurut beliau, asas penting yang menjiwai kejayaan Rasulullah SAW dalam usaha Baginda menyatupadukan banyak kaum di Madinah sehingga dapat mewujudkan Piagam Madinah pada tahun 622 Masehi adalah prinsip akhlak, atau moral dan etika. Pihak yang terlibat dengan perjanjian itu menghormati dan patuh kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam piagam berkenaan.

“Dalam Islam, nilai moral dan etika merangkumi semua perlakuan dalam kehidupan termasuk adat dan tradiri sesuatu kaum. Di samping itu, melibatkan tindakan manusia dalam hubungannya dengan Allah SWT, juga hubungan dengan persekitaran manusia.”

Hal ini kerana kejayaan dalam aspek kesatuan bangsa, di samping pembangunan dalam kehidupan manusia sangat bergantung kepada nilai-nilai tersebut yang dikongsi oleh semua umat manusia, katanya.

“Semangat Hijrah inilah yang membawa kepada kejayaan misi Rasulullah SAW ketika Baginda menyampaikannya kepada semua umat manusia. Semangat inilah juga yang diteruskan oleh para sahabat Baginda serta pemerintah Islam pada zaman kegemilangannya.”

Hasilnya, dalam masa yang singkat Islam telah tersebar ke Timur dan ke Barat, dan diterima oleh umat manusia pada ketika itu, jelas Dr Ismail mengakhiri wawancara.

Sangat menarik kupasan beliau mengenai falsafah hijrah yang dipelopori Rasulullah SAW yang dapat dipelajari dan fahami sebagai panduan hidup kita.

Syiling Peringatan Abad ke-15 Hijrah

Dalam konteks peristiwa hijrah ini, Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) berinisiatif melalui penghasilan koleksi unik yang turut menarik perhatian penulis. Pada 11 November 1980 atau 1 Muharam 1401 Hijrah, BNM telah mengeluarkan syiling peringatan sempena Abad Ke-15 Hijrah,

Berdasarkan maklumat, kandungan syiling ini menggunakan logam tembaga-nikel (75 peratus Tembaga dan 25 peratus Nikel), dan dikeluarkan dalam satu bentuk, iaitu bukan peruf.

Duit syiling peringatan ini seberat 17.00gram dan mempunyai nilai muka RM1. Diameternya berukuran 33.40 milimeter dengan ketebalan 2.50 milimeter. Syiling ini telah ditempa dan dikeluarkan oleh Kilang Wang, Shah Alam dengan kuantiti tempaan sebanyak 500,000 keping sahaja.

Di muka hadapan syiling ini memaparkan logo sambutan sedunia perayaan menyambut ketibaan Abad Ke-15 Hijrah. Kelihatan juga huruf Jawi “HA” yang membawa maksud hijrah.

Selain itu, binaan Kaabah dan menara Masjid Nabawi di Madinah melambangkan penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah yang menjadi titik permulaan pengiraan tahun Hijrah. Sarang labah-labah pula melambangkan perpaduan umat Islam di negara ini dan seluruh dunia.

Di bahagian belakang syiling peringatan ini kelihatan tulisan Jawi “Sambutan Abad Ke-15 Hijrah” yang diposisikan di bahagian atas syiling.

Nilai muka $1 berada di bahagian tengah syiling dengan tulisan Jawi “1 Muharam 1401” di bahagian atasnya. Tulisan bahasa Jawi “Ringgit Malaysia” pula kelihatan di bahagian bawah syiling.

Hasil penelitian penulis mendapati duit syiling peringatan sempena Sambutan Hijrah Abad ke-15 ini adalah kali pertama dikeluarkan oleh BNM menggunakan tulisan Jawi. Di bahagian tepi syiling tertera perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” yang dicetak dengan huruf besar.

Penulis berpandangan bahawa sangat menarik jika pembaca dapat memiliki syiling peringatan ini sebagai koleksi peribadi di samping sebagai salah satu cara memperingati peristiwa bersejarah dalam takwim Islam.

Sesungguhnya, peristiwa hijrah ini telah meninggalkan kesan besar kepada tamadun Islam, masyarakat Islam terdahulu, umat Islam masa kini dan tentunya kepada generasi akan datang.

Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Presiden Persatuan Pendidikan Komunikasi Malaysia (MACE) dan Profesor, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *