Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
MUAR — Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Johor supaya memilih pemimpin yang berintegriti, bijaksana dan tidak sombong dengan kuasa demi memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
Anwar berkata masa depan Johor bergantung kepada kebijaksanaan rakyat memilih wakil yang benar-benar memahami denyut nadi masyarakat sambil berucap pada Himpunan Mega Pakatan Harapan di sini malam tadi.
“Kita mahu orang yang jadi wakil rakyat di peringkat negeri Johor yang ambil tahu masalah rakyat, bukan hanya bantu masa dekat dengan pilihan raya saja,” katanya.
Anwar turut menegur pihak tertentu yang gemar memainkan sentimen perkauman dan kebencian untuk meraih sokongan politik, namun gagal menunaikan tanggungjawab selepas diberi mandat oleh rakyat.
Menurut beliau, pemimpin yang dipilih tidak boleh bersikap angkuh selepas menang pilihan raya, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat terutama golongan miskin dan memerlukan.
“Pimpinan di Johor ini mesti orang yang bijak dan berani, barulah dia boleh buat keputusan dan jaga kepentingan Johor,” tegasnya.
Beliau berkata kemenangan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor penting bagi memastikan dasar kerajaan negeri bergerak seiring dengan agenda pembangunan Kerajaan Persekutuan termasuk pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pengembangan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Anwar menjelaskan keselarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan mempercepatkan rundingan, penyaluran bantuan serta memastikan manfaat projek-projek mega dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi Johor termasuk yang berada di luar negeri agar pulang menunaikan tanggungjawab pada 11 Julai ini bagi memastikan Johor dipimpin oleh barisan pemimpin yang berwibawa, berani dan benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L