Anak Puteri Mahkota Norway dipenjara empat tahun atas dua pertuduhan kes rogol, 32 kesalahan lain

OSLO – Mahkamah Oslo pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas anak Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan rogol serta 32 kesalahan lain dalam satu skandal berprofil tinggi yang menggemparkan institusi diraja negara itu.

Marius Borg Hoiby, 29, merupakan anak Mette-Marit daripada hubungan sebelum beliau berkahwin dengan Putera Mahkota Haakon pada 2001 berdepan 40 pertuduhan termasuk rogol dan kesalahan trafik, dengan hukuman maksimum sehingga 16 tahun penjara.

Salah satu kes rogol yang membawa kepada sabitan berlaku di kediaman rasmi pasangan Putera Mahkota pada 2018.

Hoiby yang bukan anggota rasmi keluarga diraja serta tidak mempunyai pekerjaan tetap, turut dibebaskan daripada dua lagi pertuduhan rogol. 

Namun, dia disabitkan bersalah atas penderaan domestik berulang terhadap bekas teman wanita, kesalahan trafik, ugutan, kesalahan dadah serta beberapa kes lain.

Pendakwa sebelum ini memohon hukuman penjara selama tujuh tahun tujuh bulan.

Hoiby yang ditahan sejak Februari lalu, menafikan pertuduhan paling serius termasuk rogol, yang menurut pendakwa dilakukan ketika mangsa sedang tidur atau tidak sedarkan diri.

Peguam bela pula memohon agar dia dikenakan hukuman 18 bulan penjara bagi pertuduhan yang diakuinya.

Hoiby tidak hadir di mahkamah ketika keputusan dibacakan sebaliknya, mengikuti prosiding melalui pautan video.

Seorang mangsa rogol yang hadir di mahkamah dilaporkan rebah dalam tangisan sebaik hakim membacakan keputusan bersalah dalam kes melibatkan dirinya.

Selepas berunding dengan Hoiby, peguamnya memaklumkan, mereka akan mengemukakan rayuan terhadap dua sabitan rogol serta kes penderaan domestik.

Pendakwa, Sturla Henriksbo, menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan kepada sistem keadilan negara.

“Saya berpendapat keputusan ini menunjukkan tiada sesiapa pun kebal daripada undang-undang, tanpa mengira siapa anda dan latar belakang anda,” katanya.

Perbicaraan yang berlangsung dari 3 Februari hingga 19 Mac lalu turut mendedahkan gaya hidup berlebihan yang dilalui Hoiby, yang mula menjadi perhatian umum sejak usia tiga tahun apabila hubungan ibunya dengan Putera Mahkota diketahui umum.

“Saya lebih dikenali sebagai anak kepada ibu saya, bukan sebagai individu. Jadi, sepanjang hidup saya, saya mempunyai keperluan yang melampau untuk mendapatkan pengiktirafan,” katanya ketika memberi keterangan.

Menurutnya, keadaan itu mendorong kepada penglibatan dalam aktiviti seks, pengambilan dadah serta alkohol secara berlebihan.

Kes rogol yang didakwakan berlaku antara 2018 hingga 2024, kebanyakannya selepas malam berpesta di mana Hoiby mengambil alkohol dan dadah.

Pendakwa berhujah, perbuatan itu melibatkan hubungan seks secara rela pada awalnya, sebelum diikuti perbuatan seksual ketika mangsa dipercayai sedang tidur atau tidak sedarkan diri, sekali gus tidak mampu memberikan persetujuan.

Perdebatan dalam mahkamah banyak tertumpu kepada tahap kesedaran mangsa serta apa yang boleh disedari oleh Hoiby ketika kejadian.

Hoiby turut mengkritik tekanan media yang menurutnya melabelnya sebagai “raksasa” dan menjadikannya sasaran kebencian seluruh Norway.

Skandal itu tercetus pada 4 Ogos 2024, apabila Hoiby ditahan polis atas dakwaan menyerang teman wanitanya ketika itu di sebuah apartmen di Oslo pada malam sebelumnya.

Media turut menyiarkan gambar menunjukkan sebilah pisau terpacak pada dinding serta candelier yang pecah di lantai.

Seorang bekas pasangannya, pempengaruh Nora Haukland kemudian tampil mendakwa turut menjadi mangsa penderaan fizikal dan psikologi yang digambarkan oleh pendakwa sebagai “pemerintahan keganasan.”

Dalam perbicaraan, Hoiby mengakui rasa cemburu kadangkala menyebabkan dia hilang kawalan.

Mangsa-mangsa wanita tidak membuat laporan rogol terhadap Hoiby secara langsung.

Sebaliknya, siasatan polis terhadap insiden Ogos 2024 menemui rakaman video dalam telefon dan komputer milik Hoiby yang didakwa menunjukkan perbuatan rogol, sebelum pihak berkuasa menghubungi wanita terbabit yang sebelum itu tidak menyedari kejadian tersebut.

Skandal berkenaan mencalarkan imej institusi diraja Norway dan menyumbang kepada penurunan sokongan awam, walaupun secara keseluruhan ia masih kekal popular.

Kes itu turut menyusuli pendedahan sebelum ini mengenai hubungan persahabatan Mette-Marit dengan mendiang pesalah seks Amerika Syarikat, Jeffrey Epstein.

Mette-Marit, 52, kini menghidap penyakit paru-paru kronik yang menjejaskan pernafasan, dan keadaannya dilaporkan semakin merosot. 

Beliau kini diletakkan dalam senarai menunggu bagi pemindahan paru-paru. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *