Polis teruskan siasatan lelaki muat naik kandungan fitnah Tok Batin, Jaslinda

IPOH – Polis akan meneruskan siasatan terhadap seorang lelaki yang didakwa memuat naik kandungan berunsur fitnah terhadap Tok Batin Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Pos Musoh berkaitan penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin meskipun individu itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt. Abdul Malik Hasim berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan 11 laporan polis yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk sekumpulan Tok Batin berhubung isu tersebut.

“Kita akan ambil keterangan lelaki berkenaan dalam masa terdekat selain mendapatkan pengesahan rasmi dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung beberapa perkara termasuk isi kandungan video terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Semalam lelaki terbabit tampil membuat permohonan maaf secara terbuka melalui satu rakaman video, susulan kontroversi melibatkan sesi siaran langsungnya di platform TikToknya yang didakwa memfitnah To Batin Mohd Asmmadi dan Jaslinda.

Sebelum itu, dalam sesi siaran langsung melalui akaun sama, lelaki berkenaan mendakwa Jaslinda telah ‘disimpan’ oleh Mohd Asmmadi selama dua minggu dan mendakwa jika perkara terbabit tidak tular berkemungkinan tok batin akan berkahwin dengan wanita berkenaan.

Sabtu lalu, Jaslinda, 49, ditemui selamat oleh penduduk Kampung Lubuk selepas hilang selama 14 hari sejak 24 Mei lalu ketika melakukan pendakian di gunung berketinggian sekitar 2,132 meter itu. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *