PGA rampas ‘macaw’ dan ‘amazon’ bernilai RM100,000 di sempadan Kelantan-Thailand

KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas empat burung eksotik bernilai kira-kira RM100,000, yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand dalam Ops Taring Wawasan Kelantan, berhampiran pangkalan haram Kak Nah di Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata serbuan jam 7 malam oleh Pasukan Tindakan Khas PGA selepas mengesan seorang lelaki sedang memunggah beberapa sangkar di tebing Sungai Golok, di sebelah Malaysia.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek telah melarikan diri dengan menaiki bot ke arah tebing Thailand dan pemeriksaan polis menemukan dua ekor burung spesies Blue and Gold Macaw serta dua burung spesies Blue-fronted Amazon dalam dua sangkar yang ditinggalkan.

“Burung-burung berkenaan dipercayai dibawa masuk tanpa permit yang sah untuk dijual kepada pembeli tempatan. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM100,200,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kes diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Ahmad Radzi berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan sempadan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *