SHAH ALAM – Gerakan politik baharu, BERSAMA mengesahkan penyertaan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026, sekali gus menandakan kemunculan rasmi parti itu dalam arena pilihan raya negara.
Bagi pihak parti BERSAMA, Rafizi Ramli berkata, keputusan itu dimuktamadkan selepas beberapa siri perbincangan melibatkan pimpinan pusat parti serta ahli-ahli terpilih dari seluruh negara.
Susulan itu, katanya, perbincangan lanjut bersama wakil di Johor turut dijadualkan bagi mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi.
BERSAMA yang baharu dilancarkan semula pada 17 Mei lalu menyifatkan PRN Johor 2026 sebagai platform penting untuk memperkenalkan parti itu kepada pengundi, meskipun usia penubuhannya masih kurang sebulan.
“Penyertaan dalam pilihan raya ini juga akan digunakan sebagai medan awal untuk membina jentera pilihan raya, selain menguji keberkesanan organisasi parti dalam menghadapi proses pilihan raya sebenar.
“Seiring dengan persiapan ini, BERSAMA turut mengumumkan pelancaran siri jelajah kebangsaan yang dinamakan “Jelajah Kancil”, yang akan bermula di Johor pada 6 Jun ini di Danga Bay Convention Centre pada jam 8 malam.
“Jelajah ini akan memberi fokus kepada 12 agenda utama parti, dengan setiap negeri diperuntukkan tumpuan kepada satu agenda khusus dalam siri penerangan kepada rakyat,” katanya.
Selepas Johor, siri jelajah itu akan diteruskan ke beberapa negeri seluruh negara termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Kuala Lumpur, sebelum berakhir di kawasan tertentu di Selangor.
Kata Rafizi, tarikh dan lokasi bagi setiap program akan dikemas kini dari semasa ke semasa, dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat serta membuat pendaftaran kehadiran melalui laman rasmi https://bersama.org/ms/acara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli serta rakyat Malaysia yang telah memberi sokongan awal terhadap gerakan tersebut, dan menyatakan komitmen untuk membawa pendekatan kempen lebih positif, inovatif dan berfokus kepada masa depan negara.
“Kami akan menggembleng tenaga rakyat biasa untuk membina kempen yang segar, realistik dan berorientasikan masa depan,” menurut kenyataan itu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L