Pemandu Mercedes sebabkan empat maut direman

BATU PAHAT – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun direman selama dua hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi membantu siasatan berhubung kemalangan jalan raya yang mengorbankan empat sekeluarga di Jalan Renggam–Simpang Renggam, Kluang, semalam.

Perintah reman sehingga esok itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno selepas membenarkan permohonan polis untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika disabitkan kesalahan.

Suspek yang merupakan penuntut sebuah universiti di Singapura dipercayai memandu sebuah Mercedes-Benz secara melulu dan berbahaya bersama sebuah BMW 530e yang dipandu abangnya berusia 22 tahun sebelum berlaku kemalangan pada jam 1.15 tengah hari.

Terdahulu, suspek tiba di kompleks mahkamah sekitar jam 10.20 pagi sebelum dibawa ke kamar majistret bagi proses permohonan reman.

Suasana di pekarangan mahkamah turut bertukar tegang seketika apabila peguam mewakili suspek menghalang jurugambar media daripada merakam gambar anak guamnya ketika dibawa turun dari trak polis.

Dalam kemalangan itu, empat sekeluarga yang menaiki sebuah Toyota Vios maut, iaitu Semek Mat Soh, 73; anaknya, Aiman Mohd Rashid, 36; menantunya, Nor Azlina Abd Latip, 33; serta cucunya, Nur Airish Syifa Sidek, 10 tahun.

Semua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kota Tinggi dari Melaka ketika nahas berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerusi talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *