SHAH ALAM – Isu gaji minimum pekerja asing yang sepatutnya menjadi perbahasan dasar ekonomi akhirnya membuka gelanggang pertelingkahan sesama pemimpin DAP.
Daripada soal melindungi peluang pekerjaan rakyat tempatan, beban majikan dan kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perbalahan itu semakin melebar sehingga muncul sindiran mengenai pemimpin veteran yang perlu mendidik anak sendiri agar tidak ke sana sini menggigit orang.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berpendapat gaji minimum pekerja asing perlu dinaikkan dengan alasan, jika upah pekerja asing terus rendah, majikan mungkin lebih cenderung mengambil mereka berbanding pekerja tempatan.
Akibatnya, peluang pekerjaan rakyat sendiri dikhuatiri semakin terhimpit kerana majikan lebih mengutamakan kos buruh yang murah.
Namun, Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng tidak sependapat dengan alasan menaikkan gaji minimum pekerja asing sedia ada daripada RM1,700 kepada RM2,000 boleh menambah beban majikan, terutama PKS yang masih bergelut dengan kos operasi.
Malah, cadangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi pekerja asing turut dibantahnya.
Perbezaan pandangan mengenai dasar ekonomi itu mungkin perkara biasa dalam politik dengan setiap pemimpin mempunyai pertimbangan tersendiri, sama ada mahu melindungi pekerja tempatan atau memastikan majikan tidak terbeban dengan kos tambahan.
Masalahnya bermula apabila perbezaan pendapat tidak lagi terhenti pada soal dasar, sebaliknya berkembang menjadi pertikaman lidah sesama sendiri.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Veteran DAP, Teng Chang Khim, yang dilantik sebagai Pengerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp secara politik oleh Steven Sim, turut memasuki gelanggang dengan membidas Guan Eng yang merupakan bekas Setiausaha Agung DAP.
Guan Eng pula tidak berpuas hati, malah mempersoalkan mengapa Teng dilihat lebih banyak mengkritik pemimpin DAP berbanding membincangkan masalah yang dihadapi PKS.
Di sinilah perbahasan mengenai gaji dan pekerjaan mula bertukar menjadi soal siapa mengkritik siapa. Isu yang sepatutnya dibincangkan berdasarkan angka, kesan ekonomi dan kepentingan rakyat semakin dibayangi pertelingkahan peribadi.
Teng juga bukan calang-calang membalas. Sindirannya mengenai seorang pemimpin veteran yang sepatutnya mendidik anak sendiri supaya tidak ke sana sini menggigit orang mengundang perhatian.
Ramai menganggap sindiran itu ditujukan kepada Lim Kit Siang dan anaknya, Guan Eng apabila bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa dirinya bersama adiknya, Lim Hui Ying turut menjadi sasaran.
Akhirnya, isu gaji minimum pun bertukar menjadi perang mulut sesama sendiri. Seorang mahu gaji pekerja asing dinaikkan bagi mengelakkan majikan terlalu bergantung pada buruh murah, seorang lagi bimbang majikan khususnya PKS tidak mampu menanggung kos tambahan, manakala seorang lagi masuk campur sehingga perbahasan ekonomi dibumbui sindiran mengenai gigit-menggigit.
Kalau dilihat dari sudut kepentingan rakyat, perdebatan mengenai perkara ini sebenarnya penting. Berapakah gaji yang munasabah untuk memastikan pekerja mendapat kehidupan lebih baik?
Bagaimanakah kerajaan hendak mengelakkan pekerja tempatan tersisih akibat persaingan buruh murah? Pada masa sama, mampukah PKS menanggung kenaikan kos tanpa terpaksa mengurangkan pekerja atau menaikkan harga barang dan perkhidmatan?
Itulah persoalan sepatutnya dijawab dengan hujah dan data, bukannya tenggelam dalam perang sindiran. Rakyat mahu tahu dasar mana lebih berkesan, bukan sekadar siapa lebih tajam lidahnya ketika membalas kritikan.
Saya ingat DAP hendak berlawan dengan lawan politik di luar gelanggang. Rupanya, dalam gelanggang sendiri pun suasananya boleh tahan panas. Belum selesai berbahas mengenai gaji minimum, sudah timbul pula cerita tentang siapa yang mengkritik siapa dan siapa yang perlu mendidik anak sendiri.
Kalau begini gayanya, isu pekerja dan majikan boleh pula menjadi mangsa di tengah-tengah pertelingkahan. Pekerja masih menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik, PKS masih menghitung kos operasi, tetapi pemimpin sudah sibuk menghitung sindiran sesama sendiri.
Gaji minimum belum tentu naik, beban majikan belum tentu selesai, tetapi suhu politik dalam DAP nampaknya sudah meningkat.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
