Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali

BULAN Zulhijjah membawa kita menghayati satu kisah besar mengenai pengorbanan, ketaatan dan keyakinan. Kisah Nabi Ibrahim A.S. yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk mengorbankan puteranya, Nabi Ismail A.S., bukan sekadar peristiwa sejarah yang diingati setiap kali tibanya Aidiladha.
Ia adalah lambang pengorbanan tertinggi seorang hamba kepada Penciptanya, serta bukti bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan dengan keikhlasan dan keyakinan akan digantikan dengan rahmat dan kebaikan yang lebih besar.
Di sebalik kisah agung ini, tersimpan pengajaran bahawa perubahan besar tidak akan berlaku tanpa keberanian untuk berkorban. Semangat pengorbanan inilah yang wajar diterjemahkan dalam usaha membina masa depan tenaga mahir negara.
Dalam konteks pembangunan negara, pengorbanan bukan hanya bermaksud melepaskan sesuatu yang kita sayang, tetapi juga keberanian untuk meninggalkan cara fikir lama, mengubah kebiasaan, menerima pendekatan baharu dan bergerak seiring dengan keperluan semasa.
Masyarakat perlu bersedia berkorban daripada terus terikat dengan stigma bahawa kejayaan hanya diukur melalui laluan akademik semata mata. Sebaliknya, kemahiran perlu diangkat sebagai satu bentuk keupayaan sebenar yang bernilai, bermaruah dan sangat diperlukan oleh negara.
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan kedua. TVET ialah laluan strategik untuk melahirkan tenaga kerja mahir, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri.
Negara yang mahu maju tidak boleh hanya bergantung kepada teori dan kelayakan di atas kertas. Negara memerlukan rakyat yang mampu membina, membaiki, mencipta, mengendali teknologi, mengurus sistem pengeluaran, menyelesaikan masalah teknikal dan menghasilkan produktiviti sebenar di lapangan pekerjaan.
Namun, untuk mencapai matlamat tersebut, perubahan sikap masyarakat amat diperlukan. Ibu bapa perlu berkorban dengan membuka minda bahawa anak yang memilih TVET juga mempunyai masa depan yang cerah.
Anak muda perlu berkorban masa dan tenaga untuk menguasai kemahiran secara bersungguh-sungguh. Institusi latihan perlu berkorban daripada bekerja secara rutin kepada pendekatan yang lebih responsif terhadap kehendak industri.
Pada masa sama, masyarakat keseluruhannya perlu berhenti melihat TVET sebagai laluan bagi mereka yang tercicir, sebaliknya mengiktiraf TVET sebagai laluan utama kepada kerjaya profesional berasaskan kemahiran.
Penglibatan industri juga merupakan satu bentuk pengorbanan yang sangat penting. Industri tidak boleh hanya menunggu graduan mahir dihasilkan oleh institusi latihan.
Industri perlu tampil bersama sebagai rakan strategik dalam membangunkan standard kemahiran, menyediakan tempat latihan, berkongsi teknologi, memberi pendedahan dunia kerja sebenar dan membantu membentuk tenaga kerja mengikut keperluan semasa.
Tanpa penglibatan industri, latihan kemahiran akan terpisah daripada realiti pekerjaan. Sebaliknya, apabila industri terlibat secara langsung, TVET akan menjadi lebih relevan, dinamik dan diyakini.
Dalam hal ini, usaha Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) memperkenalkan (R)EVOLUSI TVET merupakan langkah penting untuk memperkukuh semula ekosistem kemahiran negara.
(R)EVOLUSI TVET membawa mesej bahawa TVET perlu berubah, diperkasa dan disusun semula agar lebih berimpak kepada rakyat, industri dan negara. Ia bukan sekadar perubahan kosmetik, tetapi satu seruan untuk melihat TVET sebagai agenda besar pembangunan nasional.
Melalui pendekatan ini, JPK berperanan memastikan latihan kemahiran negara terus relevan, standard kemahiran diperkukuh, pentauliahan dimodenkan, pengiktirafan kemahiran diperluas dan hubungan industri diperkasa.
Sempena bulan Zulhijjah yang mengingatkan kita kepada erti pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S., marilah kita mengambil iktibar bahawa setiap perubahan besar menuntut pengorbanan.
Untuk membina tenaga mahir negara, kita perlu berkorban meninggalkan stigma lama. Untuk mengangkat TVET, kita perlu berkorban mengubah cara fikir. Untuk mencapai negara maju, kita perlu berkorban dengan memberi ruang, sokongan dan keyakinan kepada laluan kemahiran.
Akhirnya, TVET bukan sekadar tentang latihan dan sijil. TVET ialah tentang masa depan rakyat, kekuatan industri dan kemajuan negara. Jika pengorbanan hari ini dilakukan dengan kesungguhan, maka hasilnya akan dinikmati oleh generasi akan datang.
Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali adalah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L