KUALA LUMPUR – Krisis jerebu rentas sempadan yang kembali menjejaskan kualiti udara di rantau ini tidak boleh terus dianggap sebagai bencana bermusim yang terpaksa ditanggung rakyat setiap tahun, sebaliknya memerlukan tindakan tegas, ketelusan dan penguatkuasaan berkesan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata kejadian jerebu yang berulang sehingga mengganggu kehidupan harian rakyat menunjukkan perlunya pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani pencemaran rentas sempadan.
Menurut beliau, apabila sekolah terpaksa ditutup, kanak-kanak perlu berada di rumah, pesakit yang mengalami masalah pernafasan mendapatkan rawatan dan aktiviti harian masyarakat terganggu, isu berkenaan tidak lagi boleh dilihat sebagai masalah cuaca semata-mata.
Sebaliknya, katanya, keadaan itu mencerminkan kelemahan dalam pengurusan dan penguatkuasaan alam sekitar yang memerlukan penyelesaian lebih berkesan bagi mengelakkan krisis sama terus berulang.
Mujahid berkata kesediaan Indonesia menerima bantuan daripada negara jiran merupakan perkembangan positif yang perlu disusuli tindakan segera, termasuk penyelarasan penghantaran aset, kepakaran dan anggota bagi membantu memadamkan kebakaran serta menghalang api daripada terus merebak, khususnya di kawasan tanah gambut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bantuan kecemasan sahaja tidak memadai tanpa tindakan susulan bagi mengenal pasti punca kebakaran, pihak yang bertanggungjawab dan langkah penguatkuasaan yang perlu diambil.
Sehubungan itu, Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi mendapatkan maklumat berkaitan lokasi kebakaran, pemilik konsesi, rekod kawalan kebakaran serta tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang dikenal pasti terlibat.
Katanya, orang ramai berhak mengetahui pihak yang bertanggungjawab terhadap pencemaran udara yang menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan mereka.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Udara ialah nikmat kurniaan Tuhan yang perlu dipelihara supaya semua orang dapat menikmatinya dalam keadaan bersih dan selamat,” katanya.
Mujahid turut mengingatkan bahawa prinsip fiqah, la darar wa la dirar, yang membawa maksud tidak boleh melakukan kemudaratan atau membalas kemudaratan dengan kemudaratan, wajar dijadikan panduan dalam menangani krisis berkenaan.
Menurutnya, kesan jerebu tidak mengenal sempadan negara, sebaliknya menjejaskan kehidupan masyarakat di seluruh rantau dan berpotensi mengancam kesihatan serta keselamatan jutaan penduduk.
Bagi memastikan tindakan lebih tersusun, beliau mengemukakan tiga cadangan utama untuk dilaksanakan segera oleh Malaysia, Indonesia dan ASEAN.
Pertama, Malaysia dan Indonesia perlu menubuhkan pusat operasi bersama bagi menyelaras bantuan kecemasan serta membolehkan perkongsian data kebakaran secara masa nyata. Langkah itu penting untuk mempercepat tindak balas di kawasan terjejas dan memastikan sumber bantuan disalurkan berdasarkan keperluan sebenar.
Kedua, kerajaan perlu mendedahkan secara berkala maklumat mengenai konsesi dan syarikat yang dikenal pasti terlibat dalam kebakaran berdasarkan bukti yang boleh disahkan. Pendedahan itu, katanya, mesti dilaksanakan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak, termasuk syarikat yang mempunyai kepentingan Malaysia sekiranya didapati terlibat.
Ketiga, ASEAN perlu membangunkan mekanisme penalti dan pampasan pada peringkat serantau berasaskan prinsip “pencemar membayar”. Pendekatan itu bertujuan memastikan pihak yang menyebabkan pencemaran memikul tanggungjawab terhadap kerosakan dan kesan yang ditanggung masyarakat, bukannya sekadar bergantung pada kenyataan bersama setiap kali krisis berlaku.
Mujahid berkata pendekatan Politik Rahmah turut menuntut komitmen untuk melindungi hak asas rakyat, termasuk hak menikmati udara yang bersih dan persekitaran yang selamat.
Beliau menegaskan bahawa hubungan diplomatik dan kerjasama serantau perlu terus dipelihara, namun usaha itu tidak seharusnya menyebabkan kepentingan kesihatan jutaan rakyat diketepikan demi menjaga hubungan dengan mana-mana kerajaan atau kepentingan ekonomi pihak tertentu.
“Jerebu bukan takdir tahunan. Ia boleh dicegah jika ada keberanian politik, ketelusan dan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah ar-Rum, ayat 41, yang mengingatkan manusia mengenai kerosakan di darat dan laut akibat perbuatan mereka sendiri, supaya mereka menyedari akibat perbuatan tersebut dan kembali ke jalan yang benar.
Ayat itu, menurut beliau, menjadi peringatan bahawa kerosakan alam sekitar akibat tindakan manusia menuntut perubahan sikap, tanggungjawab dan usaha bersungguh-sungguh untuk menghentikan kemusnahan yang berterusan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
