Oleh: Dr. Sharifah Faridah Syed Ali dan Dr. Rozien Zakwan Abdul Rahman
MALAYSIA sememangnya memiliki keistimewaan tersendiri sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Daripada keindahan alam semula jadi yang memukau, kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat hingga ke keunikan kehidupan desa dan kemeriahan kota metropolitan sebagai pusat membeli belah, negara ini menawarkan pengalaman yang sukar dilupakan.
Namun, disebalik keindahan destinasi dan kepelbagaian tarikan yang ditawarkan, terdapat satu aspek yang tidak kurang pentingnya dalam menentukan kepuasan pelancong, iaitu kelancaran perjalanan untuk sampai ke destinasi yang ingin dikunjungi.
Kehebatan sesebuah destinasi pelancongan bukan hanya diukur melalui keindahan lokasi atau kepelbagaian aktiviti yang ditawarkan. Kemudahan untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain juga memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman pelancong.
Dalam konteks ini, ketepatan masa pengangkutan awam bukan sekadar mencerminkan kecekapan sistem pengangkutan negara, malah menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi kualiti pengalaman pelancongan secara keseluruhan.
Bagi penduduk tempatan, kelewatan pengangkutan awam boleh mengganggu rutin harian, khususnya apabila melibatkan urusan pekerjaan dan komitmen seharian.
Bagi pelancong pula, kelewatan tersebut boleh memberikan kesan berbeza, terutama apabila mereka mempunyai tempoh percutian yang terhad.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Masa yang terbuang akibat kelewatan pengangkutan bukan sahaja boleh menjejaskan jadual perjalanan, malah berpontensi memendekkan tempoh lawatan serta menghadkan peluang mereka untuk meneroka destinasi pilihan.
Bayangkan seorang pelancong yang hanya mempunyai tiga hari untuk meneroka Kuala Lumpur. Dalam tempoh yang singkat itu, pelbagai aktiviti mungkin telah dirancang, daripada mengunjungi lokasi bersejarah dan menikmati keunikan makanan tempatan hinggalah membeli-belah serta meneroka tarikan sekitar ibu kota.
Setiap destinasi yang ingin dikunjungi memerlukan perancangan perjalanan yang teliti, lebih-lebih lagi apabila pelancong bergantung kepada pengangkutan awam untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
Apabila satu perjalanan terganggu akibat ketidakpastian waktu ketibaan pengangkutan, kesannya boleh berlanjutan kepada aktiviti seterusnya.
Dalam erti kata lain, bagi pelancong, masa yang dihabiskan untuk menunggu bukan sekadar kelewatan tetapi turut menghakis masa berharga yang sepatutnya digunakan untuk meneroka destinasi dan menikmati pengalaman percutian mereka.
Malaysia sebenarnya telah mempunyai rangkaian pengangkutan awam yang semakin berkembang. Perkhidmatan MRT, LRT, monorel, bas, kereta api antara bandar dan pengangkutan awam lain telah meningkatkan mobiliti di banyak destinasi.
Prestasi ketepatan masa juga tidak boleh digambarkan secara menyeluruh sebagai lemah. Data Rapid Bus pada awal 2026 misalnya, menunjukkan tahap ketepatan masa pelepasan di hentian pertama sebanyak 85 peratus bagi Rapid KL, 95 peratus bagi bas perantara MRT, 96 peratus bagi BRT Sunway dan 94 peratus bagi Rapid Penang.
Malah, kemudahan aplikasi digital turut disediakan bagi membolehkan pengguna mendapatkan maklumat laluan dan jadual perjalanan.
Namun, kewujudan kemudahan tersebut tidak bermakna masalah kelewatan dapat dielakkan sepenuhnya.
Ketidakselarasan antara jadual yang dipaparkan dengan waktu ketibaan sebenar boleh menjejaskan perancangan perjalanan, khususnya bagi pelancong yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.
Dari perspektif pelancongan, angka purata ketepatan masa sahaja tidak semestinya menggambarkan keseluruhan pengalaman perjalanan.
Apa yang lebih penting ialah kebolehpercayaan perkhidmatan dan keyakinan pelancong terhadap jadual perjalanan yang disediakan.
Kajian Khazanah Research Institute mengenai perkhidmatan bas di Greater Kuala Lumpur menunjukkan bahawa prestasi antara laluan tidak semestinya seragam.
Keadaan ini memperlihatkan ketepatan masa bukan sahaja perlu dinilai berdasarkan pencapaian keseluruhan, tetapi juga melalui konsistensi perkhidmatan yang membolehkan pelancong merancang perjalanan dengan lebih yakin.
Keadaan ini menunjukkan ketepatan masa tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian keseluruhan semata-mata, tetapi juga melalui konsistensi perkhidmatan yang membolehkan pelancong merancang perjalanan dengan lebih teratur dan selesa.
Situasi ini mempunyai implikasi kepada industri pelancongan. Pelancong yang kurang yakin terhadap ketepatan sesuatu perkhidmatan mungkin memilih untuk menggunakan e-hailing, mengehadkan bilangan lokasi yang dikunjungi atau mengelakkan destinasi yang memerlukan beberapa pertukaran pengangkutan.
Dalam keadaan tertentu, aktiviti yang telah dirancang mungkin terpaksa dipendekkan atau dibatalkan.
Kesannya bukan sahaja dirasai oleh pelancong, malah turut memberi tempias kepada sektor perniagaan tempatan.
Apabila pergerakan pelancong terbatas akibat masalah pengangkutan, peluang mereka untuk berbelanja di restoran, kedai, destinasi pelancongan dan premis perniagaan tempatan turut berkurangan.
Keadaan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan pendapatan peniaga serta manfaat ekonomi yang sepatutnya dinikmati oleh komuniti setempat.
Sebaliknya, sistem pengangkutan yang boleh dipercayai membolehkan pelancong meneroka lebih banyak kawasan dan memberi peluang kepada manfaat ekonomi pelancongan tersebar melangkaui lokasi tumpuan utama.
Perkara ini semakin relevan ketika Malaysia melaksanakan Visit Malaysia 2026 dengan sasaran menarik 43 juta pelawat antarabangsa.
Dalam usaha meningkatkan daya saing industri pelancongan, perhatian bukan sahaja perlu diberikan kepada promosi dan pembangunan tarikan, tetapi juga kepada pengalaman pelawat ketika bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
Peningkatan ketepatan jadual, kekerapan perkhidmatan, maklumat masa nyata yang mudah diakses serta penyelarasan antara tren, bas pengantara dan destinasi pelancongan boleh membantu meningkatkan keyakinan pelancong terhadap pengangkutan awam.
Maklumat tersebut juga perlu jelas dan mudah difahami oleh pelawat antarabangsa yang mungkin pertama kali menggunakan sistem pengangkutan awam di Malaysia.
Malaysia sememangnya mempunyai pelbagai destinasi pelancongan yang menarik untuk diterokai.
Namun, dalam industri pelancongan yang semakin kompetitif, keindahan dan kepelbagaian tarikan semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menjadikan negara ini pilihan utama pelancong.
Pelancong juga perlu yakin bahawa mereka boleh sampai ke destinasi tersebut dengan mudah dan pada waktu yang dirancang.
Justeru, ketepatan masa pengangkutan awam bukan sekadar ukuran kecekapan operasi, malah merupakan aspek penting dalam membentuk pengalaman pelancong dan memperkukuh daya saing industri pelancongan Malaysia.
Dalam usaha menjayakan Visit Malaysia 2026, kehebatan tarikan pelancong perlu seiring dengan kebolehpercayaan sistem pengangkutan yang menghubungkan pelancong dengan destinasi pilihan mereka.
Dr. Sharifah Faridah Syed Ali dan Dr. Rozien Zakwan Abdul Rahma ialah Pensyarah Kanan, Program Pengurusan dan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
