KUALA LUMPUR – Norway mohon maaf kepada Malaysia susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata permohonan maaf itu disampaikan dalam pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Norway Tore O Sandvik di luar sesi rasmi Dialog Shangri-La Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) di Singapura.
“Saya telah bertemu rakan sejawat saya dari Norway dan beliau telah menyampaikan permohonan maafnya, tetapi turut menjelaskan asas pembatalan berkenaan,” katanya.
Pembatalan lesen eksport sebelum ini telah mendapat bantahan keras daripada Malaysia, dengan sistem peluru berpandu itu diperuntukkan untuk program Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pada 14 Mei lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor menyampaikan bantahan keras kepada rakan sejawatnya dari Norway, Jonas Gahr Store, atas tindakan mengejut negara itu menyekat lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia.
Dalam perbualan telefon, Anwar menegaskan bahawa Malaysia telah memenuhi setiap tuntutan kontrak dimeterai sejak 2018, tanpa sebarang kesangsian.
Beliau menegaskan bahawa langkah Norway itu akan memberi kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS), selain pasti membawa implikasi lebih luas terhadap keseimbangan strategik serantau.
“Saya sudah menyampaikan bantahan keras Malaysia dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway berhubung keputusan sepihak Norway dan tidak dapat diterima untuk membatalkan lesen eksport bagi sistem NSM serta sistem pelancar berkaitannya, kononnya atas alasan melindungi keselamatan Norway.
“Malaysia sudah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak ini sejak 2018 dengan penuh teliti, setia dan tanpa sebarang keraguan. Namun, Norway nampaknya tidak rasakan perlu untuk membalas dengan penghormatan dan iktikad baik yang sama.
“Kontrak yang dimeterai adalah dokumen yang sah dan mengikat. Ia bukan sekadar cebisan kertas yang boleh diperlakukan sesuka hati.
“Jika pembekal pertahanan Eropah berasakan mereka berhak mungkir daripada perjanjian tanpa sebarang akibat, maka nilai mereka sebagai rakan strategik akan lenyap sama sekali,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Sebelum ini, Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.
NSM, peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer, adalah sebahagian daripada kontrak perolehan yang dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018, bernilai 124 juta euro ($184.91 juta), bertujuan melengkapi enam kapal LCS baharu.
Projek LCS lama tertangguh
LCS Malaysia dibina berdasarkan reka bentuk kapal perang kelas Gowind dari Perancis.
Dalam perancangan asal, kapal ini dijadual dilengkapi dengan sistem peluru berpandu anti-kapal NSM keluaran syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace.
Namun sekitar 2024 hingga 2025, beberapa laporan pertahanan antarabangsa menyebut Norway menarik balik atau tidak meneruskan kelulusan eksport NSM kepada Malaysia kerana beberapa faktor termasuk tempoh kelewatan projek LCS yang terlalu lama, perubahan jadual penghantaran kapal, dan isu kontrak serta keperluan operasi yang berubah.
Menurut beberapa laporan sebelum ini, pembatalan lesen eksport dikatakan bukan semata-mata kerana faktor politik atau sekatan terhadap Malaysia, tetapi lebih kepada faktor komersial, teknikal dan pengurusan program yang berlarutan terlalu lama.
FAKTA Projek LCS
2011 — Projek diluluskan
2014 — Kontrak diberikan kepada BNS
— Kontrak diberikan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) pada 2014.
Projek itu bertujuan membina enam kapal perang LCS, untuk menggantikan kapal lama TLDM, dan memperkukuh keupayaan pertahanan maritim negara.
2016 — Pembinaan fizikal bermula
2019 — Sasaran asal kapal pertama siap (tidak tercapai)
2022 — Kontroversi besar didedahkan PAC
2023–2026 — Pelan pemulihan dan pembinaan diteruskan
2026 — TLDM masih menunggu penyerahan penuh kapal pertama. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L