‘Kami Diperlakukan Seperti Binatang’ – Aktivis Flotila Gaza Dakwa Diseksa Dicabul Tentera Israel

PETALING JAYA – Misi kemanusiaan membawa bantuan ke Gaza bertukar menjadi episod hitam penuh penderitaan apabila ratusan aktivis antarabangsa mendakwa menjadi mangsa kekejaman melampau tentera Israel selepas kapal mereka dipintas di perairan berhampiran wilayah Palestin itu.

Para peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dan Freedom Flotilla Coalition (FFC) mendakwa mereka dipukul tanpa belas kasihan, dicabul, dikenakan renjatan elektrik dan diseksa ketika berada dalam tahanan rejim zionis.

Lebih mengejutkan, beberapa aktivis mendakwa terdapat mangsa yang mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk, kecederaan mata dan trauma fizikal serta mental selepas melalui layanan yang disifatkan sebagai “tidak berperikemanusiaan”.

Peserta dari Malaysia, Al-Ahmad Shah Abdul Kadir berkata, sekurang-kurangnya 35 tahanan mengalami kecederaan pada bahagian tulang rusuk manakala beberapa lagi cedera di kepala akibat dipukul ketika berada dalam tahanan.

Katanya, ada aktivis yang hampir hilang penglihatan selepas mengalami kecederaan pada mata selain dakwaan berhubung beberapa insiden serangan seksual terhadap peserta misi.

“Kami datang membawa bantuan kemanusiaan, bukannya senjata. Tetapi layanan yang kami terima seperti penjenayah perang. Aktivis dipukul, dihina dan diseksa sepanjang berada dalam tahanan mereka,” katanya selepas tiba di Istanbul, Turkiye malam tadi.

Sementara itu, aktivis dari Australia, Juliet Lamont mendedahkan pengalaman mengerikan yang didakwanya berlaku di atas kapal tentera Israel ketika para peserta dibawa menuju ke Pelabuhan Ashdod.

Menurutnya, para aktivis dipukul secara bergilir-gilir selain dipaksa berada dalam keadaan menyeksakan selama berjam-jam.

“Ada yang terkena renjatan taser pada muka. Ada yang disuntik bahan tidak diketahui. Ramai cedera dan patah tulang rusuk akibat dibelasah.

“Saya sendiri diikat menggunakan tali kabel sebelum mereka menjirus air ke atas saya hampir sejam. Saya fikir saya akan mati ketika itu,” katanya.

Wanita itu turut mendakwa dirinya dicabul dan dipukul beberapa lelaki ketika berada dalam sebuah ruang tertutup yang disifatkannya seperti bilik seksaan.

“Mereka menghentak muka saya dan melakukan penderaan seksual terhadap saya. Saya tidak akan lupa apa yang berlaku malam itu,” katanya dalam nada sebak.

Pendedahan sama turut dibuat aktivis Brazil, Thiago Avila yang mendakwa keganasan seksual terhadap peserta misi berlaku secara berulang sepanjang tempoh tahanan.

Katanya, ramai aktivis diperlakukan secara kasar dan dihina walaupun mereka hanya terlibat dalam misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.

“Mereka mahu menakutkan kami. Mereka mahu mematahkan semangat kami.

“Tetapi dunia perlu tahu apa yang berlaku terhadap aktivis kemanusiaan di dalam tahanan Israel,” katanya.

Menurut Thiago, semua peserta yang dibebaskan kini menjalani pemeriksaan kesihatan dan trauma di Istanbul sebelum laporan lengkap dikumpulkan untuk tindakan undang-undang antarabangsa.

“Kami akan membawa perkara ini ke ICC dan ICJ. Mereka mesti dipertanggungjawabkan atas layanan kejam terhadap peserta misi kemanusiaan,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa rakaman video yang tular di media sosial turut mengundang kemarahan ramai apabila memaparkan layanan kasar terhadap aktivis flotila berkenaan.

Salah satu video yang dimuat naik Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir di TikTok menunjukkan seorang aktivis wanita ditarik rambut dan ditolak kepalanya selepas melaungkan slogan “Free Palestine”.

Rakaman sama turut menunjukkan beberapa aktivis diikat tangan ke belakang dan dipaksa menundukkan kepala ke lantai ketika dikawal anggota keselamatan Israel.

Insiden tersebut mencetuskan kecaman pelbagai pihak antarabangsa yang menyifatkan tindakan terhadap misi kemanusiaan itu sebagai pencabulan hak asasi manusia dan keganasan terhadap orang awam.

Terdahulu, lebih 400 aktivis antarabangsa dilaporkan ditahan selepas kapal misi bantuan kemanusiaan mereka dipintas tentera Israel ketika cuba menghampiri Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan akibat konflik berpanjangan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *