Keanggunan Benang Johor Curi Perhatian di Uzbekistan, Raja Permaisuri Agong Angkat Warisan Melayu ke Pentas Antarabangsa

Oleh: Editorial ND

TASHKENT – Kehalusan seni warisan Melayu sekali lagi mendapat perhatian antarabangsa apabila busana Kain Benang Johor yang diperagakan oleh Raja Zarith Sofiah sepanjang lawatan khas ke Uzbekistan berjaya mencuri tumpuan masyarakat tempatan dan delegasi antarabangsa.

Penampilan anggun Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong itu bukan sekadar lambang keindahan fesyen tradisional Melayu, malah membawa bersama sejarah panjang hubungan diplomatik, identiti budaya Johor serta warisan tekstil diraja yang jarang diketengahkan di pentas dunia.

Kain Benang Johor yang digayakan Raja Permaisuri Agong merupakan Tenun Corak Muar iaitu rekaan berkotak unik hasil inovasi Yayasan Warisan Johor yang menampilkan motif bunga hias di antara susunan kotak bersama kepala kain berjalur elegan.

Tenunan eksklusif itu diinspirasikan daripada warisan Kain Tartan Johor yang mempunyai hubungan rapat dengan sejarah Kesultanan Johor Moden dan hubungan diplomatik dengan Britain sejak abad ke-19.

Menurut catatan sejarah, Johor merupakan satu-satunya negeri Melayu yang memiliki corak Tartan Scotland khas atau “Scottish Kilt” sendiri, yang dihadiahkan oleh Queen Victoria kepada Almarhum Sultan Sir Abu Bakar ketika keberangkatan baginda ke Istana Balmoral, Scotland pada tahun 1880.

Pemberian tersebut dilihat sebagai simbol penghormatan dan persahabatan erat antara Johor dan United Kingdom pada ketika itu.

Warisan Tartan Johor terus berkembang apabila Almarhum Sultan Sir Ibrahim turut dianugerahkan corak Tartan khas pada tahun 1930 untuk digunakan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF), sekali gus memperkukuhkan identiti diraja Johor dalam sejarah tekstil dunia.

Sepanjang lawatan di Uzbekistan, Raja Zarith Sofiah turut memperagakan baju kurung berciri Kurung Pesak — busana tradisi Melayu yang dipercayai berasal sejak era Kesultanan Melayu Melaka.

Rekaan longgar dan sopan dengan potongan “pesak” di sisi melambangkan kehalusan budaya Melayu yang menitikberatkan keselesaan serta kesopanan wanita.

Busana tersebut juga sinonim dengan gaya Teluk Belanga yang diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar di Johor pada era 1800-an.

Pilihan warna-warna ceria sepanjang lawatan rasmi itu turut membawa simbolik kegembiraan dan semangat persaudaraan antara Malaysia dan Uzbekistan.

Ketika mengadakan pertemuan bersama Wanita Pertama Uzbekistan, Ziroat Mirziyoyeva, Seri Paduka Baginda tampil anggun dalam baju kurung moden rona merah jambu yang dihiasi manik sarat pada bahagian lengan dan kaki baju.

Busana eksklusif rekaan Radzuan Radziwill itu dipadankan dengan songket yang diinspirasikan daripada corak asal Tartan Johor, menjadikan penampilan tersebut gabungan unik warisan Melayu dan sentuhan moden.

Raja Permaisuri Agong kemudian mengenakan baju kurung Benang Johor berpesak warna biru muda bermotif Tiara Permaisuri Johor ketika menghadiri Persidangan Diraja Tradisi Sains dalam Ketamadunan Islam di Center of Islamic Civilization.

Bagi hari terakhir lawatan di Samarkand, Seri Paduka Baginda sekali lagi memukau perhatian apabila tampil dalam busana hijau berpesak dengan motif Tiara Permaisuri Johor yang dipadankan bersama kain bercorak Tartan ketika berangkat ke Imam Bukhari Complex dan Registan Square.

Penampilan tersebut bukan sahaja memperlihatkan keindahan warisan tekstil Johor, malah berjaya mengangkat identiti budaya Melayu ke pentas antarabangsa dalam suasana penuh diplomasi dan penghormatan budaya.

Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Warisan Johor dan pereka fesyen Dato’ Radzuan Radziwill atas penghasilan koleksi busana Kain Benang Johor yang diperagakan sepanjang lawatan khas berkenaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *