SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh tampil memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau dalam satu ceramah baru-baru ini yang didakwa menghina dan merendah-rendahkan para Sahabat Nabi Muhammad SAW.
Menurut beliau, penerangan yang disampaikan ketika ceramah tersebut bertujuan membantu masyarakat memahami konteks sejarah kehidupan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam serta perubahan besar yang dibawa oleh dakwah Rasulullah SAW.
Nik Muhammad Zawawi berkata, penggunaan istilah tertentu termasuk perkataan “ceti” bukan bertujuan menghina mana-mana sahabat Rasulullah SAW, sebaliknya digunakan sebagai pendekatan mudah bagi menjelaskan realiti sistem sosial dan ekonomi masyarakat pada zaman jahiliyah.
“Apa yang saya maksudkan ialah pada zaman jahiliyah di Mekah, sesiapa sahaja yang hidup dan bermuamalah dalam masyarakat ketika itu terikat dengan sistem yang sedia ada.
“Ia termasuk tokoh-tokoh seperti Saidina Abu Bakar RA dan Abdul Rahman bin Auf yang hidup dalam masyarakat tersebut sebelum Islam diturunkan dan sebelum Rasulullah SAW diutuskan,” katanya pada Selasa.
Beliau menjelaskan, keadaan itu bukan satu kesalahan kepada para sahabat kerana ketika itu syariat Islam belum diturunkan sepenuhnya kepada umat manusia.
Katanya, penjelasan tersebut dibuat bagi menggambarkan bagaimana Islam berjaya mengubah masyarakat Arab daripada sistem jahiliyah kepada sebuah tamadun yang lebih adil, berakhlak dan berteraskan wahyu Ilahi.
Sebelum ini, tular beberapa rakaman video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi yang menyentuh latar kehidupan empat sahabat utama Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman al-Affan dan Ali Abi Talib sebelum mereka memeluk Islam.
Antara kenyataan yang menjadi perhatian ialah dakwaan beliau yang menggambarkan Saidina Abu Bakar sebagai seorang “bapa ceti” ketika zaman jahiliyah, selain menyebut Saidina Umar sebagai seorang yang keras dan zalim sebelum menerima Islam.
Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat termasuk kritikan daripada beberapa pihak yang menyifatkan ucapan berkenaan sebagai tidak wajar dan boleh menimbulkan salah faham terhadap kedudukan para Sahabat Nabi SAW.
Difahamkan, ceramah tersebut disampaikan dalam satu program politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lalu sebelum rakaman video berkaitan tersebar di media sosial.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi menegaskan beliau sama sekali tidak berniat mencerca atau memperlekehkan para sahabat Rasulullah SAW.
Sebaliknya, beliau berkata, fokus utama ceramah tersebut adalah untuk menjelaskan kehebatan Islam dalam membentuk keperibadian manusia selepas menerima hidayah dan tarbiah daripada Rasulullah SAW.
“Saya tidak pernah mengatakan Saidina Abu Bakar seorang yang jahat. Itu sama sekali tidak boleh dilakukan oleh mana-mana Muslim.
“Apa yang saya jelaskan ialah Allah SWT menjadikan Saidina Abu Bakar sebagai contoh manusia yang berubah menjadi insan terbaik setelah menerima Islam dan didikan Rasulullah SAW,” katanya.
Beliau berkata, para sahabat merupakan contoh terbaik bagaimana Islam mampu mengangkat manusia daripada kehidupan jahiliyah kepada kemuliaan akhlak dan kepimpinan umat.
Justeru, beliau menolak dakwaan dirinya menghina para sahabat atau perlu memohon maaf serta bertaubat seperti didakwa sesetengah pihak.
Dalam masa sama, beliau menyeru masyarakat agar tidak terus memanjangkan polemik berkenaan sehingga menimbulkan fitnah dan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
“Saya menyeru semua pihak supaya bersatu padu dan tidak terus menimbulkan fitnah. Insya-Allah, saya maafkan semua pihak yang menuduh saya,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L