KLANG – Seorang lelaki ditemukan maut dalam keadaan tertiarap dalam longkang di kawasan Taman Sentosa di sini pada Rabu, sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan lelaki itu pada jam 1.28 tengah hari.
Menurut beliau, sepasukan polis bersama ambulans dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Pada jam 2.05 petang, pasukan perubatan yang tiba di lokasi telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an dan bekerja sebagai kontraktor Air Selangor,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja berhampiran kawasan tersebut sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke HTAR Klang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat penyakit jantung iskemik berpunca daripada saluran arteri koronari tersumbat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan setakat ini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan kejadian tersebut sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman dan gambar memaparkan seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam longkang di kawasan berkenaan sehingga mencetuskan pelbagai tanda tanya dalam kalangan netizen.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L