KITA sering bercakap mengenai memartabatkan bahasa dan kesusasteraan. Sering menyebut mengenai melahirkan generasi penulis baharu, memperluas budaya membaca dan menjadikan sastera sebagai sebahagian daripada kehidupan masyarakat.
Tetapi, ada satu soalan yang mungkin tidak begitu selesa untuk dijawab, iaitu siapakah sebenarnya yang sedang kita bina dalam dunia kesusasteraan ini? Adakah kita sedang membina sastera yang hidup sampai ke akar atau sekadar menghidupkan kegiatan yang kelihatan subur di permukaan?
Soalan itu penting kerana di luar pentas besar dan acara yang mendapat perhatian, terdapat kelompok kecil penulis terus menghidupkan kegiatan kesusasteraan di akar umbi.
Mereka bergerak di daerah, di kampung, di sekolah, di institusi pengajian dan dalam komuniti setempat dengan kemampuan yang amat terbatas. Mereka bukan tidak mempunyai idea, bukan tidak mempunyai semangat dan bukan tidak mempunyai bakat.
Yang sering tidak mereka miliki ialah wang dan akses. Di sinilah persoalan mengenai pembangunan kesusasteraan negara perlu dilihat dengan lebih jujur.
Sejauh manakah kegiatan kesenian dan kesusasteraan di akar umbi berkembang selari dengan sasaran ditetapkan oleh pihak bertanggungjawab menjaga serta memelihara dunia sastera?
Lebih penting, sejauh manakah persatuan dan kelab penulis yang kecil, belum mempunyai nama besar, diberikan ruang untuk berkembang?
Persoalan ini bukan lahir daripada keinginan untuk membandingkan siapa lebih layak menerima bantuan. Ia muncul daripada keluhan mereka yang berada di lapangan dan melihat sendiri betapa sukarnya sesebuah persatuan kecil memastikan kegiatan terus berjalan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Banyak persatuan kecil digerakkan oleh individu yang mempunyai pekerjaan dan tanggungjawab sendiri. Mereka menguruskan persatuan selepas waktu bekerja, mencari tempat untuk program, menghubungi penulis, menyediakan bahan promosi dan dalam keadaan tertentu mengeluarkan wang sendiri untuk menampung kos kegiatan.
Mereka tidak mempunyai pasukan pengurusan yang besar, tidak mempunyai pejabat yang lengkap, apatah lagi mempunyai rangkaian penaja yang kukuh. Namun, mereka tetap bergerak.
Ironinya, dalam ekosistem yang sepatutnya membuka ruang kepada semua lapisan, nama dan jaringan kadangkala dilihat sebagai kelebihan yang memudahkan sesuatu pertubuhan mendapat perhatian.
Ini bukan tuduhan bantuan hanya diberikan kepada persatuan besar. Tetapi realiti di akar umbi perlu didengar: persatuan mempunyai nama lebih mudah dikenali, lebih mudah dihubungi dan mungkin mempunyai rekod kegiatan yang lebih panjang.
Sedangkan, persatuan kecil pula sering berdepan kesukaran untuk membuktikan kemampuan kerana mereka tidak pernah diberikan ruang mencukupi untuk berkembang.
Di sinilah berlaku satu lingkaran yang sukar diputuskan. Tidak mempunyai nama menyebabkan sukar mendapat sokongan. Sukar mendapat sokongan menyebabkan kegiatan terbatas. Kegiatan yang terbatas pula menyebabkan persatuan sukar membina rekod dan nama. Akhirnya, mereka terus berada di tempat yang sama.
Sedangkan, dunia sastera seharusnya tidak hanya diukur berdasarkan jumlah program, bilangan peserta atau kemeriahan sesuatu acara.
Kita perlu bertanya apa yang berlaku selepas pentas dikemaskan, kerusi disusun kembali dan sepanduk diturunkan. Apakah bakat baharu yang berjaya ditemukan? Apakah penulis muda yang berjaya dibimbing? Apakah karya baharu yang berjaya diterbitkan? Apakah pembaca baharu yang berjaya didekatkan dengan sastera? Dan paling penting, apakah kegiatan itu meninggalkan kesan berpanjangan kepada masyarakat?
Pertanyaan ini penting kerana kegiatan kesusasteraan bukan sekadar acara. Sastera bukan hanya pertandingan puisi, sayembara cerpen, deklamasi sajak atau pelancaran buku.
Semua itu mempunyai tempat dan nilainya sendiri. Tetapi, kesusasteraan yang benar-benar hidup memerlukan ekosistem lebih luas, iaitu penulis, pembaca, pengkritik, penerbit, guru, pelajar, persatuan, komuniti dan institusi yang saling menguatkan.
Jika perhatian terlalu tertumpu kepada kegiatan yang sudah mempunyai nama, kita mungkin terlepas pandang proses paling penting dalam pembinaan sastera: menemukan dan membesarkan bakat yang belum mempunyai nama.
Seorang penyair yang hari ini memenuhi dewan mungkin suatu ketika dahulu hanya dikenali dalam kelompok kecil. Seorang novelis yang karyanya kini dibaca ramai mungkin bermula dengan sebuah persatuan kecil di daerahnya. Seorang penulis yang hari ini menerima pengiktirafan mungkin pernah membaca karya sendiri kepada segelintir pendengar yang datang kerana rasa ingin tahu.
Nama besar tidak muncul dari ruang kosong. Ia tumbuh dan pertumbuhan memerlukan ruang.
Sebab itu persatuan kecil di akar umbi tidak seharusnya dilihat sebagai kelompok pinggiran dalam pembangunan kesusasteraan. Mereka mungkin kecil dari segi jumlah ahli dan kemampuan kewangan, tetapi peranan mereka boleh menjadi besar dalam membina hubungan langsung antara sastera dengan masyarakat.
Di sebuah daerah, misalnya, sebuah kelab penulis mungkin menjadi satu-satunya tempat anak muda mengenali puisi tempatan. Di sebuah kampung, sebuah persatuan mungkin menjadi ruang bagi generasi tua berkongsi cerita rakyat dan warisan lisan dengan generasi muda. Di sebuah sekolah atau institusi pengajian, kelompok penulis kecil mungkin menjadi pencetus kepada minat membaca dan menulis.
Kegiatan seperti ini mungkin tidak menghasilkan angka yang besar, tetapi sastera tidak semestinya bekerja melalui angka.
Kadangkala, seorang pembaca yang ditemui sudah cukup untuk mengubah sebuah kehidupan. Kadangkala, seorang penulis baharu yang dilahirkan lebih bermakna daripada sebuah acara yang meriah, tetapi berakhir apabila lampu pentas dipadamkan.
Oleh itu, pendekatan terhadap sokongan kesusasteraan akar umbi wajar diperluaskan. Bantuan tidak semestinya berbentuk peruntukan besar. Sokongan boleh datang dalam bentuk kemudahan tempat, penerbitan, promosi, latihan pengurusan, jaringan dengan institusi lebih besar, bimbingan profesional atau peluang bekerjasama dalam program yang lebih luas.
Apa yang penting ialah wujudnya pintu yang boleh diketuk. Jangan sampai persatuan kecil hanya dikenali apabila mereka sudah berjaya. Jangan sampai bakat akar umbi hanya mendapat perhatian selepas namanya disebut di pentas besar.
Jika begitu, siapa pula yang akan membantu mereka sampai ke pentas itu? Inilah persoalan yang patut direnungkan oleh semua pihak yang mempunyai tanggungjawab terhadap perkembangan kesusasteraan.
Kerana kesusasteraan bukan milik persatuan besar. Bukan milik penulis yang sudah terkenal. Bukan juga milik mereka yang sering berada di pentas dan berada dalam lingkungan pengurusan.
Kesusasteraan adalah milik masyarakat dan masyarakat itu bukan hanya berada di pusat. Ia berada di daerah, kampung, sekolah, universiti, perpustakaan, rumah-rumah kecil dan kelompok-kelompok penulis yang mungkin hanya mempunyai beberapa orang ahli, tetapi masih menyimpan impian yang besar.
Mereka mungkin tidak meminta layanan istimewa. Mereka cuma mahu dilihat, mahu didengar, mahu diberikan peluang dan paling mereka perlukan bukanlah sejumlah wang yang besar, tetapi keyakinan bahawa usaha kecil mereka mempunyai tempat dalam peta kesusasteraan negara.
Jangan kita terlalu sibuk menghitung pohon yang sudah rendang sehingga terlupa menyiram anak pokok yang baru tumbuh, kerana apabila akar umbi mati dalam diam, kita mungkin hanya menyedari kehilangan itu apabila sudah terlambat.
Sastera yang besar tidak mungkin lahir tanpa akar yang kuat dan akar itu sedang menunggu untuk disuburkan. – ND
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
